
Penerbit dan pengarah berpengalaman, YBhg. Dato’ Ahmad Tamimi Siregar, bertekad membawa filem terbaharu arahannya, Denu, menjelajah ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara dalam misi memartabatkan seni tradisi Mak Yong.
Filem terbitan True Legacy Sdn Bhd ini menelan kos RM1.8 juta, sebahagiannya daripada Dana Kenegaraan FINAS, dan akan ditayangkan di seluruh pawagam utama bermula 21 Ogos 2025.
Menurut Tamimi, langkah ini penting bagi memastikan golongan muda, khususnya di kawasan yang kurang akses kepada pawagam, dapat menikmati naskhah berunsur budaya yang sarat dengan nilai warisan.
“Cerita berat seperti ini perlu dibawa kepada mereka. Kita tidak boleh mengharapkan penonton datang seperti filem popular,”
“Selain tayangan, kita mahu mengadakan sesi diskusi supaya penonton dapat memahami budaya, simbol dan mesej filem ini dengan lebih mendalam,” katanya pada malam gala dan sidang media Denu di GSC Melawati Mall.
Mengangkat kisah Pak Yeh (Sabri Yunus), tokoh Mak Yong yang mempertahankan keaslian seni pusaka, Denu turut menampilkan Nad Zainal, Hairi Safwan, Azman Hassan, Che Kem dan Iman Al Haixal.
Proses pembikinan filem ini memakan masa empat tahun, antaranya kerana penggunaan teknik CGI untuk mengubah elemen moden seperti tiang lampu dalam setiap bingkai.
Skrip asal ditulis oleh Nassarudin, diolah semula oleh beberapa penulis termasuk Wan Syafu Syarizan, dan diperkaya oleh Sabri Yunus dengan penggunaan bahasa lama Kelantan bagi mengekalkan keaslian.
Tamimi turut mendedahkan bahawa Denu telah dipertontonkan di ASEAN Film Festival di Beijing tahun lalu, dan akan dihantar ke festival antarabangsa seperti Beijing University Film Festival dan Japan ASEAN Film Festival (JAF) pada tahun hadapan.
“Saya sudah mengkaji isu ini selama 14 tahun. Filem ini diinspirasikan daripada peristiwa sebenar, namun diolah menjadi fiksyen bagi menjaga sensitiviti pihak yang terlibat,” jelasnya.
Bagi Tamimi, Denu bukan sekadar sebuah filem, tetapi wadah pendidikan yang akan merentas sempadan, dari pawagam hingga ke kampus, demi memastikan seni tradisi Mak Yong terus hidup dalam jiwa generasi muda.