Ikuti Kami:

Ahmad Syafiq Kembali Dengan ‘Bila Hatiku Rindu’

Ahmad Syafiq Kembali Dengan ‘Bila Hatiku Rindu’

Penyanyi dan pelakon Ahmad Syafiq kembali mencuri perhatian dengan single terbarunya berjudul Bila Hatiku Rindu.

Lagu berkonsep pop rock balada ini membawa pengertian mendalam, bukan sahaja kepada peminat, tetapi juga kepada Ahmad Syafiq sendiri, yang melalui pengalaman peribadi yang mencabar sepanjang proses rakaman.

Ahmad Syafiq, atau nama sebenarnya Ahmad Syafiq Mohamed, 25, mengakui bahawa rakaman lagu ini menjadi antara pengalaman paling mencabar dalam karier seninya.

“Semasa rakaman, saya sangat letih kerana jadual lakonan yang padat. Lebih mencabar, saya baru sahaja melalui perpisahan dengan seseorang yang pernah saya sayangi. Saya menggunakan sepenuh perasaan ketika merakam lagu ini sehingga menyebabkan saya berasa loya dan kejang perut akibat keletihan,” katanya.

Walaupun begitu, Ahmad Syafiq bersyukur kerana segala usaha dan pengorbanan membuahkan hasil yang memuaskan.

Lagu ciptaan Barr Hadif, Aiman Zaidi & Eddie Hamid dengan lirik oleh Aiman Zaidi ini bakal dilancarkan secara rasmi pada 14 Februari 2025 di bawah terbitan Nova Music.

Ahmad Syafiq mula menempa nama dalam industri seni pada tahun 2019 apabila berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mengembangkan bakatnya dalam bidang nyanyian.

Kejayaannya semakin terserlah selepas menyertai program realiti Lagu Cinta Kita pada tahun 2021, di mana dia berjaya meraih tempat kedua.

“Saya bersyukur kerana perjalanan seni saya dipermudahkan. Dengan restu ibu dan sokongan rakan-rakan, saya terus berusaha untuk menonjolkan bakat saya. Malah, saya mula aktif membuat ‘cover’ lagu sejak tamat SPM lagi,” katanya.

Ahmad Syafiq sebelum ini pernah tampil dengan beberapa single termasuk Mahligai Dusta, Duri, Ikhlas dan Ku Kirimkan yang dinyanyikan bersama Aqeesh Aleeya.

Dia juga pernah merakam semula lagu popular Buat Insan Tersayang bersama Wawa Shazwa, yang berjaya meraih lebih sejuta tontonan di YouTube.

Dalam tempoh dua tahun bergelar artis rakaman, Ahmad Syafiq telah mencapai banyak kejayaan membanggakan.

Antaranya, dia mendapat peluang menggantikan Hafiz Suip di Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-37 untuk mempersembahkan lagu Berakhirlah Pencarianku bersama Wani Kayrie.

Dengan pelancaran Bila Hatiku Rindu, Ahmad Syafiq berharap dapat terus mengukuhkan namanya dalam industri muzik Malaysia.

“Saya sangat teruja untuk berkongsi lagu ini dengan peminat. Ia adalah luahan hati saya, dan saya harap mereka dapat merasai emosi yang saya sampaikan dalam lagu ini,” tambahnya.

Single Bila Hatiku Rindu bakal menemui peminat pada 14 Februari 2025 di semua platform digital.

Komen
Loading...