Ikuti Kami:

Ahmad Idham Kembali Dengan Impak Maksima 2, Taruh Harapan Bakat Baharu

Ahmad Idham Kembali Dengan Impak Maksima 2, Taruh Harapan Bakat Baharu

Selepas 18 tahun, pengarah Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri kembali dengan filem Impak Maksima 2, bukan hanya untuk menghidupkan semula kegemilangan aksi drift tempatan, tetapi untuk membuka jalan kepada generasi pelapis dalam dunia lakonan filem Malaysia.

Filem terbitan Screen Studio Sdn Bhd ini akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 17 Julai 2025 dan turut dianggap sebagai nadi permulaan kepada universe filem permotoran tempatan pertama.

Majlis Malam Gala dan Sidang Media filem ini berlangsung meriah pada malam Khamis 3 Julai, disertai semua pelakon utama termasuk Dato’ Sri Eizlan Yusof, Zul Huzaimy, Dynas Mokhtar, Riezman Khuzaimi, Arfie Shah, Nelissa Nizam, Fad Bocey dan Riena Amirah.

Dalam sidang media tersebut, Ahmad Idham menyatakan dengan tegas bahawa beliau mahu Impak Maksima 2 menjadi platform melahirkan pelakon-pelakon pelapis yang berani dan berbakat, seperti yang pernah dilakukannya dahulu.

“Saya memang gila dari dulu. Di saat orang tak berani ambil pelakon baru, saya yang buat. Saya lahirkan pelakon-pelakon dari filem Remp-It, Jangan Pandang Belakang. Hari ini, kita kekurangan pelapis dan tak ramai penerbit yang berani pertaruh mereka,” katanya.

“Saya percaya pelakon-pelakon dalam Impak Maksima 2 ini akan jadi rebutan selepas ini. Industri kita terlalu banyak ikut pengaruh ‘follower’, bukan ‘trendsetter’,” tambahnya lagi.

Menurut Ahmad Idham, keseimbangan antara pelakon lama dan baharu dalam filem ini adalah sebahagian dari usahanya membina sebuah universe permotoran Malaysia yang mampu dikembangkan dalam sekuel akan datang.

“Kalau diberi sokongan, Insya-Allah saya akan gabungkan semua watak dari dulu dan sekarang dalam Impak Maksima 3. Saya tak pernah rancang nak buat Impak Maksima 2, tapi selepas PKP dan kebangkitan semula dunia drift, saya rasa sudah sampai masanya.” katanya.

Pelakon baharu Nelissa Nizam yang membawakan watak Gia turut meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang membintangi filem aksi pertamanya.

“Saya sangat-sangat teruja sebab ini filem aksi pertama saya. Saya nak ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Dr Ahmad Idham kerana beri saya peluang. Ini memang impian saya untuk jadi antara pelakon wanita Malaysia yang boleh buat aksi,” katanya.

“Saya bersyukur kerana dapat pasukan yang sangat bagus dan bekerja dengan pelakon-pelakon yang sangat komited dan hebat,” tambahnya.

Impak Maksima 2 menampilkan hampir 1,000 buah kereta dalam pelbagai babak aksi drift dan lumba jalanan, menjadikannya antara filem permotoran terbesar pernah dihasilkan di Malaysia. Lokasi penggambaran melibatkan Lembah Klang, Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Melaka.

Filem ini menampilkan pelakon muda seperti Arfie Shah (Rudy), Muhsin Nadzli (Rio), Fad Bocey (Naim), dan Riena Amirah (Puteri), bergandingan dengan pelakon berpengalaman seperti Dato’ Sri Eizlan Yusof (Abang Joe), Zul Huzaimy (Ray), dan Dynas Mokhtar (ASP Maria).

Filem ini turut mendapat sokongan jenama besar seperti Goodyear, Petronas Syntium, Ultra Racing, WrapXpert serta kerjasama PDRM, DBKL, MBMB, MBIP dan MBJB.

Impak Maksima 2 menjanjikan pengalaman aksi padu, konflik generasi, dan semangat juang anak muda dalam dunia drift.

Saksikan di pawagam seluruh negara bermula 17 Julai ini simbol kembalinya Ahmad Idham dan harapan baharu untuk masa depan filem aksi Malaysia.

Komen
Loading...