Ikuti Kami:

Ahli BERSATU Diminta Bersabar, Bertenang, Parti Tidak Terburu-Buru Lucutkan Keahlian

Ahli BERSATU Diminta Bersabar, Bertenang, Parti Tidak Terburu-Buru Lucutkan Keahlian

Semua ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) diminta bersabar dan bertenang susulan keahlian Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat pemimpin parti itu, terlucut.

Empat yang lain ialah Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Dr Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menegaskan kelima-lima pemimpin itu buka dipecat, sebaliknya keahlian mereka terhenti serta-merta kerana melanggar perlembagaan parti.

“Saya yakin dan percaya BERSATU akan terus teguh. Kita telah menghadapi banyak cabaran dari awal parti ini saya tubuhkan.

“Kita menempuh banyak duri dan ranjau dalam perjuangan. Yang penting kita tidak berjuang demi mana-mana individu, tetapi demi agama, bangsa dan negara kita,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Presiden BERSATU itu mengakui, menerima banyak desakan supaya tindakan diambil lebih awal terhadap mereka, namun beliau mahu berlaku adil kepada semua pihak dan memastikan sebarang tindakan selaras perlembagaan parti.

“Saya sendiri tidak mengambil tindakan terburu-buru, walaupun terdapat banyak desakan supaya tindakan terhadap mereka diambil lebih awal.

“Saya mahu berlaku adil kepada semua pihak dan memastikan apa sahaja tindakan yang dibuat mestilah berlandaskan perlembagaan parti.

“Tiada mana-mana individu yang mengatasi perlembagaan parti,” tegasnya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Komen
Loading...