Afgan Kembali Dengan ‘Retrospektif Showcase’ 5 Disember Ini
- oleh MDaily Editor
- 6 Oct 2025 12:10 pm
Penyanyi popular Indonesia, Afgan, bakal kembali menghangatkan pentas Malaysia menerusi persembahan istimewa berjudul Afgan Retrospektif Showcase yang dijadualkan berlangsung pada 5 Disember 2025 di Zepp Kuala Lumpur.
Showcase tersebut bukan sekadar konsert biasa, tetapi juga meraikan pelancaran album terbaharunya, Retrospektif, sebuah karya yang menandakan titik penting dalam perjalanan karier seni Afgan selepas lebih sedekad dalam industri muzik.
Menurut penyanyi berusia 36 tahun itu, Retrospektif menjadi simbol penghargaan terhadap perjalanan hidup dan muziknya sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.
“Makna Retrospektif bagi saya ialah momen untuk melihat kembali apa yang sudah terjadi di masa lalu dan menjadikannya pelajaran untuk menjadi manusia yang lebih baik. Album ini lahir daripada proses refleksi diri saya sepanjang tempoh yang penuh perubahan,” katanya.

Menjadikan pelancaran album ini lebih bermakna, Retrospektif merupakan album penuh berbahasa Indonesia pertama Afgan selepas tujuh tahun.
“Saya kembali kepada akar muzik yang membesarkan saya, iaitu Indonesian Pop. Sudah lama saya tidak menghasilkan karya sebegini, jadi Retrospektif terasa sangat tepat sebagai titik balik dalam kerjaya saya,” jelas pelantun lagu Terima Kasih Cinta itu.
Afgan berkata, Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa di hatinya, malah Kuala Lumpur kini dianggap seperti rumah kedua.
“Sokongan peminat di Malaysia luar biasa. Saya mahu mereka turut menjadi sebahagian daripada perjalanan baharu saya ini, sebab itu saya memilih untuk melancarkan Retrospektif Showcase di Kuala Lumpur,” ujarnya.
Beliau menambah, Zepp Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi kerana ia menawarkan suasana yang lebih intim dan selesa, seiring dengan konsep muzik dalam album baharunya.
“Kali ini saya ingin suasana yang lebih kasual, dekat dan jujur. Muzik dalam album ini lebih organik dan ‘raw’, jadi Zepp adalah tempat yang sempurna untuk membawa pengalaman itu secara langsung kepada peminat,” katanya.
Dalam Retrospektif Showcase, Afgan akan mempersembahkan lagu-lagu baharu daripada album terkininya selain deretan lagu popular yang pernah mengangkat namanya ke persada muzik Asia Tenggara.
“Insya-Allah saya akan memberikan yang terbaik. Saya mahu setiap lagu menyentuh hati dan memberi makna tersendiri buat peminat di Malaysia. Emosi dan kenangan yang terjalin antara saya dan peminat di sini sangat berharga,” katanya.
Menurut Renjana Idea, selaku penganjur Afgan Retrospektif Showcase, persembahan ini menjanjikan pengalaman yang bukan sekadar menghiburkan, tetapi juga menyentuh emosi.
“Showcase ini adalah refleksi perjalanan seni Afgan yang penuh makna. Ia akan menjadi malam yang istimewa buat peminat yang sudah mengikuti beliau sejak awal kerjayanya,” kata wakil penganjur itu.
Harga tiket ditawarkan dalam lingkungan RM358 hingga RM1,398, merangkumi beberapa kategori tempat duduk dan kawasan berdiri termasuk VIP Box, Premium Seat, Normal Seat, VIP Standing serta General Standing.
Tiket Afgan Retrospektif Showcase telah mula dijual sejak 1 Oktober lalu di laman rasmi GoLive Asia.




