Ikuti Kami:

Adrian Teh Angkat Filem Tempatan Ke Tahap Dunia Menerusi Magik Rompak

Adrian Teh Angkat Filem Tempatan Ke Tahap Dunia Menerusi Magik Rompak

Pengarah terkenal tanah air, Adrian Teh sekali lagi mencipta sejarah apabila karya terbaharunya Magik Rompak membuktikan kemampuan filem Malaysia berdiri setanding dengan produksi antarabangsa.

Filem aksi penuh ilusi ini menerima sambutan luar biasa menerusi tayangan awal dari 5 hingga 7 September di pawagam terpilih. Rata-rata penonton memuji gabungan unik aksi, jenayah dan fantasi ilusi yang memberi pengalaman sinematik berbeza daripada kebiasaan.

Kejayaan awal itu diraikan dalam sebuah Malam Gala dan Sidang Media berprestij di IOI City Mall, Putrajaya, yang turut dihadiri tetamu kenamaan termasuk Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib; Pengerusi FINAS, Dato’ Gerald Hans Isaac; serta tokoh korporat Tan Sri Dato’ Seri Vincent Tan.

Turut hadir, barisan penerbit eksekutif filem ini seperti Mr Tee Yee Peng, Yang Mulia Raja Jastina Raja Arshad (Ketua Astro Shaw & Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara Astro), Ms Koh Mei Lee (Ketua Pegawai Eksekutif Golden Screen Cinemas), Mr Adrian Teh sendiri selaku Pengarah & Ketua Pegawai Eksekutif Act 2 Pictures, dan Mdm May Woo (Penerbit Bersekutu).

Barisan pelakon utama juga menyerikan majlis antaranya Zul Ariffin, Sharnaaz Ahmad, Amelia Henderson, Nadhir Nasar, Yasmin Hani, Miller Khan, Fabian Loo, Elvina Mohamad, Tay Ping-Hui dan Anas Ridzuan.

Adrian Teh yang sebelum ini mencatat kejayaan dengan PASKAL: The Movie (2018), Wira (2019) dan MALBATT: Misi Bakara (2023), berkata Magik Rompak lahir daripada keinginannya untuk mengangkat naskhah tempatan ke tahap lebih tinggi.

“Saya percaya filem tempatan mampu menyaingi produksi antarabangsa jika kita berani bereksperimen dengan genre baharu dan memperkukuh jalan cerita. Magik Rompak adalah percubaan untuk membawa penonton tempatan menikmati ilusi yang jarang diterokai dalam sinema Malaysia,” katanya.

Selain kualiti produksi, kejayaan filem ini turut disokong strategi pemasaran kreatif melalui kempen interaktif Ganjaran Gempak dengan Touch ’n Go eWallet. Penonton berpeluang memenangi wang segera hanya dengan mengimbas kod QR di pawagam terpilih, manakala promosi eksklusif GSC menawarkan potongan harga tiket, koleksi barangan khas dan peluang makan malam bersama barisan pelakon utama.

Magik Rompak diterbitkan oleh ACT 2 Pictures, Golden Screen Cinemas, Astro Shaw, Clover Films Pte Ltd dan Overseas Union Garden dengan sokongan Kementerian Komunikasi, FINAS, SFO Studios Film Office dan Singapore Film Commission, serta diedarkan oleh GSC Movies.

Filem ini akan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 11 September 2025, bersempena cuti sekolah dan sambutan Hari Malaysia.

Komen
Loading...