Industri muzik tanah air sekali lagi digegarkan dengan kolaborasi istimewa yang penuh nostalgia apabila dua bintang popular, Adira Suhaimi dan Shahir Zawawi, melancarkan single terbaharu mereka berjudul “Hanya Kamu”.
Lagu ini menandakan pertemuan semula (reunion) mereka selepas kali terakhir muncul bersama dalam program realiti fenomena Akademi Fantasia 8 (AF8) pada tahun 2010.
Lebih istimewa, single “Hanya Kamu” ini merupakan terbitan dan karya ciptaan penuh Dato’ Norman Abdul Halim yang turut pernah menjadi pengetua mereka di AF8, sekali gus menambahkan kemanisan kolaborasi ini.
Lagu duet yang menampilkan sentuhan R&B segar ini telah dipilih sebagai lagu tema rasmi (OST) untuk filem yang dinantikan ramai, Duyung Legenda Aurora, yang dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 25 Disember 2025.
Menurut Dato’ Norman Abdul Halim, pemilihan Adira dan Shahir dibuat kerana tuntutan emosi dramatik yang diperlukan untuk filem sekuel Duyung itu.
“Individu pertama yang terlintas di fikiran saya ialah Adira, memandangkan reputasinya sebagai Ratu OST. Dari situlah timbulnya idea untuk menggandingkannya dengan Shahir, kerana kedua-dua mereka merupakan bekas anak didik saya di AF kira-kira 15 tahun yang lalu,” katanya.

Bagi Adira, peluang untuk berduet secara rasmi bersama Shahir sangat mengujakan dan mengembalikan kenangan.
“Kali terakhir saya bertemu Shahir ialah tujuh tahun lalu, dan kami tidak pernah berduet bersama kecuali ketika pertandingan AF.
“Saya benar-benar tidak sangka mendapat peluang ini, dan ia semestinya mengembalikan nostalgia ketika saya, Shahir dan Cikgu Norman bersama-sama dalam rancangan realiti itu 15 tahun yang lalu,” ujar Adira.
Shahir pula menyatakan keterujaannya mencuba genre baharu dalam lagu yang menyentuh hati.
“Lagu dan lirik “Hanya Kamu” sangat menyentuh hati, dan saya amat teruja dapat menyanyikannya dalam genre R&B yang belum pernah saya cuba sebelum ini.
“Saya berharap lagu ini diterima baik oleh para pendengar, terutamanya apabila filem Duyung: Legenda Aurora menemui penonton di pawagam nanti,” kata Shahir.
“Hanya Kamu” mengisahkan tentang percintaan dua insan yang penuh kasih sayang namun tidak terlepas daripada ujian.
Lagu ini boleh distrim di kesemua platform penstriman digital mulai 5 Disember 2025, manakala video muziknya telah ditayangkan di saluran YouTube KRU Music pada malam yang sama.




