Adira Harap Konsert Sumandak Berjalan Lancar, Akui Cadang Nama Salma Kepada Penganjur
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu
Menjelang konsert “A Night With Sumandak Stars” pada 30 November ini di Zepp Kuala Lumpur, penyanyi Adira Suhaimi atau Siti Adira Suhaimi, 33, menyuarakan harapannya agar acara tersebut dapat berjalan lancar walaupun dibayangi kontroversi penarikan diri Stacy.
Selain Adira, konsert ini turut menampilkan beberapa penyanyi popular seperti Marsha Milan, Wani Kayrie, Nikki Palikat, Bella dan Didi Astillah, Ayu Damit, Azharina, dan Salma.
Menurut Adira, walaupun kurang pasti mengenai isu sebenar yang menyebabkan Stacy mengambil keputusan untuk menarik diri, beliau tetap berharap agar semua artis yang terlibat diberi ruang untuk membuat keputusan masing-masing.
“Secara jujurnya, saya tidak sempat nak berhubung dengan semua terlibat. Saya pun kurang pasti apa sebenarnya yang berlaku. Kalau boleh, saya mahu konsert ini berjalan lancar dan dihormati semua,” katanya ketika ditemui pada konsert akhir The Chosen One 2024 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada malam Jumaat.
Adira juga mengakui bahawa beliau telah mencadangkan nama penyanyi Salma kepada pihak penganjur sebagai salah seorang yang turut serta dalam konsert ini, memandangkan Salma sering kali menjadi pilihannya untuk menggantikan persembahan ketika Adira tidak dapat hadir.
“Sebelum ini saya selalu minta Salma ganti jika tidak dapat membuat persembahan dalam mana-mana acara. Jadi apabila diminta memberi cadangan nama untuk konsert ini, saya cadangkan Salma,” jelasnya.
Mengulas mengenai persiapan konsert, Adira menekankan bahawa beliau hanya berurusan dengan pihak penganjur melalui orang tengah dan telah menandatangani perjanjian selepas kontroversi ini timbul.
Bagi Adira, fokus utamanya adalah untuk mengekalkan hubungan baik dengan rakan-rakan artis lain yang terlibat.
“Saya menghormati keputusan setiap mereka yang terlibat dan mengharapkan agar acara ini memberi pengalaman bermakna kepada semua yang terlibat,” tambahnya lagi.
Adira turut menyatakan rasa gembiranya melihat gabungan bakat-bakat hebat dari Sabah yang akan tampil di konsert tersebut.