Adam Nuqris Pertaruh ‘Alasan’, Sentuhan Kidd Santhe & Altimet
- oleh MDaily Editor
- 4 May 2026 1:09 pm
Di sebalik kerancakan media sosial melahirkan bakat segera, penyanyi baharu Adam Nuqris memilih untuk membuktikan keupayaannya menerusi kualiti karya apabila muncul dengan single sulung berjudul ‘Alasan’.
Menariknya, naskhah pertama di bawah naungan SVLTAN Management dengan kerjasama Sony Music Entertainment Malaysia ini bukan sekadar tangkap muat.
Ia mendapat sentuhan emas penerbit berpengalaman, Kidd Santhe, serta kolaborasi lirik bersama Saixse dan figura rap tersohor, Altimet.
Adam yang sebelum ini cukup dikenali di platform TikTok menerusi lagu-lagu ‘cover’ berjiwa, menyifatkan kemunculan single ini sebagai satu transisi besar daripada seorang tular kepada penyanyi profesional.
“Saya tidak datang daripada jalan yang mudah. Sebelum ini, saya bekerja sebagai tukang gunting rambut dan mengusahakan gerai makanan di Kampung Baru. Segalanya bermula daripada minat mendalam terhadap muzik secara kendiri (self-taught).
“‘Alasan’ adalah refleksi paling jujur tentang fasa hidup saya sekarang. Ia bukan sekadar muzik, tetapi kejujuran tentang apa yang saya rasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Menceritakan mengenai permulaan ‘Alasan’, Adam mendedahkan lagu itu tercetus daripada rakaman spontan berdurasi 30 saat yang dimuat naik ke TikTok. Sambutan luar biasa daripada peminat menjadi pemangkin untuknya membawa naskhah itu ke studio rakaman.
Lagu yang menggabungkan elemen hip-hop dengan sentuhan ‘trap’ moden ini lari daripada naratif klise patah hati.
Sebaliknya, ia mengangkat tema introspektif mengenai keberanian seseorang untuk memilih haluan sendiri dan melepaskan hubungan yang tidak lagi mematangkan.
“Lagu ini tentang momen apabila kita akhirnya berhenti menafikan perasaan sendiri. Kadang-kadang, ‘pergi’ itu bukan bermaksud kalah, tetapi satu bentuk keberanian yang jujur,” tambah pemuda yang memiliki tona vokal ‘serak-serak basah’ ini.
Bagi melengkapkan impak penceritaan, video muzik (MV) ‘Alasan’ turut mendapat sentuhan pengarah kreatif, Kripxen, yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan nama besar seperti Alyph dan SonaOne.
MV tersebut menampilkan visual sinematik yang simbolik bagi memperkukuhkan lagi emosi lagu berkenaan.
Hadir dengan pakej vokal yang mampu merentas genre daripada hip-hop ke rock, Adam Nuqris kini sedia mengukir nama sebagai antara wajah baharu yang bakal mewarnai landskap muzik arus perdana.
‘Alasan’ kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama.
