Ikuti Kami:

Adam Lee dan Siti Khadijah Bersatu Dalam Di Sebalik Reda, Tayang Mulai 30 Jun

Adam Lee dan Siti Khadijah Bersatu Dalam Di Sebalik Reda, Tayang Mulai 30 Jun

Sebuah lagi karya penuh emosi daripada penerbit Siti Rosmizah Semail mula menghiasi slot Tiara menerusi drama Di Sebalik Reda yang ditayangkan di Astro Prima sejak 30 Jun lalu.

Mengangkat tema konflik kekeluargaan dan dilema cinta dua beradik, drama bersiri 30 episod ini mempertemukan gandingan istimewa Adam Lee dan Siti Khadijah Halim sebagai teraju utama.

Drama terbitan SR One dan arahan Fairuz Loy ini menyorot kisah Darlina, seorang adik yang sabar dan sering mengalah demi kakaknya, Damia, yang berkerusi roda dan sering dimanjakan ibu bapa mereka.

Segalanya berubah apabila kedua-dua adik beradik itu jatuh hati pada jejaka sama, Taufiq, lalu mencetuskan konflik yang menguji kasih sayang, pengorbanan dan harga sebuah reda.

Siti Khadijah mengakui watak Darlina sangat mencabar kerana memerlukan interaksi emosi yang mendalam dengan hampir setiap karakter utama dalam cerita.

“Saya bercakap seperti Darlina di dalam dan luar set untuk lebih mengenali watak ini. Dia anak bongsu yang tabah, kuat dan sering menyimpan perasaan kerana dibuli oleh kakaknya sendiri,” kata Siti.

Menurutnya lagi, konflik utama Darlina adalah antara memilih untuk terus mengalah demi keluarga atau mengejar kebahagiaan dan cintanya sendiri.

“Drama ini akan membuat penonton tertanya-tanya apakah pilihan Darlina di akhir cerita. Maksud reda bagi saya adalah menerima dengan hati terbuka tanpa perasaan marah, dengki atau benci,” katanya.

Adam Lee pula yang memegang watak Taufiq menyifatkan pengalaman membawa karakter lelaki yang setia dan terlalu melindungi sebagai satu cabaran tersendiri.

“Saya hanya ada masa seminggu untuk mengenali watak Taufiq. Saya perlu fahamkan keseluruhan naskhah sebelum dapat menjiwainya dengan tepat,” kata Adam.

Menurut Adam lagi, setiap watak dalam drama ini memegang peranan penting dan membawa emosi tersendiri yang akan menyentuh hati penonton.

“Reda bagi saya bermaksud melepaskan sesuatu dengan hati yang ikhlas,” katanya.

Drama ini turut dibintangi oleh Shazia Rozaini sebagai Damia, serta barisan pelakon berpengalaman seperti Delimawati, Rashdan Baba, Sheila Mambo, Sahronizam dan Aleza Shahdan.

Di Sebalik Reda juga meneruskan komitmen slot Tiara yang sering menampilkan watak golongan kurang upaya sebagai protagonis, memperkukuh mesej empati dan penerimaan dalam masyarakat.

Penonton boleh menyaksikan Di Sebalik Reda setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 6 petang di Astro Prima (saluran 105), atau menstrim menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti Box serta aplikasi Astro GO dan sooka.

Pek Astro One Entertainment kini boleh dilanggan bersama pelan internet Astro Fibre 500Mbps pada harga RM139.99 sebulan. Untuk maklumat lanjut dan melanggan, layari www.astro.com.my atau WhatsApp ke 03-9543 3838.

Di Sebalik Reda menjanjikan kisah penuh emosi yang menyentuh jiwa, sesuai untuk tontonan petang seluruh keluarga.

Komen
Loading...