Ikuti Kami:

Adam Corrie Pertaruh Kisah Mualaf, ‘Pan Mee – Pertarungan Iman & Rasa’ Temui Penonton 19 Februari Ini

Adam Corrie Pertaruh Kisah Mualaf, ‘Pan Mee – Pertarungan Iman & Rasa’ Temui Penonton 19 Februari Ini

Pelakon berkaliber, Adam Corrie Lee Abdullah, kembali mewarnai industri kreatif menerusi naskhah terbaharu berjudul Pan Mee – Pertarungan Iman & Rasa.

Drama berkonsepkan format vertikal itu bakal menemui penonton secara eksklusif di platform TikTok dan Facebook rasmi beliau bermula 19 Februari ini, jam 10.00 malam.

Naskhah 15 episod ini telah dilancarkan secara rasmi dalam sebuah majlis penuh bermakna di Hextar Tower, Kelana Jaya, petang semalam. Majlis yang berlangsung dari jam 3.00 petang itu turut dihadiri barisan pelakon dan rakan strategik produksi.

Drama ini mengangkat realiti kehidupan saudara baharu atau mualaf serta cabaran yang dihadapi dalam dunia perniagaan makanan dan minuman (F&B) di Malaysia.

Adam Corrie yang memegang watak utama sebagai Ah Seng, menjelaskan naskhah ini dekat dengan jiwanya kerana ia menyentuh aspek integriti, persepsi masyarakat, serta perjuangan mempertahankan kejujuran dalam mencari rezeki.

“Menerusi watak Ah Seng, penonton akan melihat bagaimana seorang mualaf terpaksa berdikari jauh daripada keluarga demi membina hidup baharu. Cabaran yang dilalui bukan sekadar persaingan perniagaan, tetapi melibatkan emosi apabila berdepan tentangan bapa sendiri yang dilakonkan oleh Kenji Sawahii,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran tersebut.

Selain Kenji, drama ini turut diserikan dengan lakonan mantap Sheila Mambo, Nam Ron, Jesse Lim, dan Izuan Razali. Malah, pengacara popular Wan Gegau turut tampil sebagai juri pertandingan masakan, selain kemunculan istimewa anak sulung Adam, Adam Fateh Lee.

Salah satu elemen utama yang diketengahkan ialah babak pertandingan masakan “Halal Cookdown” yang menekankan kepentingan etika penyediaan makanan halal, suatu mesej penting yang ingin disampaikan oleh penerbit, Puan Fazi Fuad.

Walaupun diterbitkan khusus untuk platform digital, Adam Corrie yang buat pertama kalinya menggalas tanggungjawab sebagai pengarah bersama Ollyn Khadir, memastikan kualiti produksi kekal setaraf drama televisyen dengan penggunaan elemen CGI dan sistem audio profesional.

Majlis pelancaran semalam turut menyaksikan kerjasama strategik bersama KopiHut, Aji-Ya, dan Sentai. Sempena itu juga, KopiHut secara rasmi melancarkan produk terbaharu mereka, Kopi 3 Dalam 1, yang kini boleh didapati di seluruh cawangan mereka di Malaysia.

Komen
Loading...