Ikuti Kami:

Achey Lancar ‘Ragam Raya’, Meriahkan Aidilfitri Bersama Baby Feaaa & Tanta

Achey Lancar ‘Ragam Raya’, Meriahkan Aidilfitri Bersama Baby Feaaa & Tanta

Penyanyi dan komposer popular, Achey, kembali memeriahkan suasana Aidilfitri dengan single terbarunya, Ragam Raya. Lagu ini turut menampilkan penyanyi baru, Baby Feaaa, serta penyanyi cilik viral, Tanta.

Mengangkat tema keunikan persiapan Hari Raya Aidilfitri, Ragam Raya menyoroti pelbagai ragam masyarakat, termasuk trend membeli baju baharu dan amalan lain yang jarang diketengahkan dalam lagu raya tradisional.

Menurut Achey, lagu ini telah dicipta sejak penghujung September tahun lalu, namun proses rakaman hanya dilakukan kemudian bagi menyesuaikan jadual semua artis yang terlibat.

“Saya dah buat demo lagu pada September, tetapi rakaman mengambil masa kerana perlu menyesuaikan jadual Baby Feaaa dan Tanta. Baby Feaaa pula sedang belajar di Kelantan, jadi proses rakaman sedikit tertangguh,” jelas Achey.

Achey menjelaskan bahawa pemilihan Baby Feaaa dalam lagu ini bukan sekadar kebetulan, tetapi sebagai penghormatan kepada Allahyarham Harun Salim Bachik, yang pernah membantu mencungkil bakatnya dalam industri seni.

“Arwah Harun pernah membantu saya pada tahun 2012, dan selepas pemergiannya, saya rasa terpanggil untuk membawa Baby Feaaa ke hadapan. Alhamdulillah, sebelum ini dia sudah ada lagu duet dengan saya berjudul Kabus, dan kini kami berkolaborasi dalam lagu raya pula,” kata Achey.

Selain itu, Tanta juga dilibatkan dalam lagu ini selepas pernah berduet dengan Achey dalam lagu Biar.

“Lagu raya ini ibarat satu kumpulan kecil yang saya hasilkan untuk menampilkan penyanyi-penyanyi yang pernah menyanyikan lagu ciptaan saya. Setiap tahun, saya bercadang untuk mengumpulkan mereka dalam sebuah lagu raya bersama,” tambahnya.

Ragam Raya mengetengahkan realiti dan kebiasaan masyarakat dalam menyambut Aidilfitri, termasuk perbincangan tentang pakaian baharu serta keunikan lain yang sering berlaku tetapi jarang dimasukkan dalam lagu raya.

“Tahun lalu, saya buat lagu Raya Rempit yang mengangkat kegilaan menghias motosikal sempena Hari Raya. Kali ini, saya bawakan elemen yang lebih santai tetapi dekat dengan masyarakat,” jelas Achey.

Achey berharap lagu ini diterima baik dan menjadi salah satu lagu raya pilihan setiap tahun.

“Saya ingin berterima kasih kepada label saya, Seventeen Eleven Music, 360 Production, rakan media, serta penaja utama, Sepulau Bintang, yang telah membantu menjayakan muzik video lagu ini. Harapan saya, lagu ini diterima ramai dan mungkin menjadi viral,” ujarnya.

Selain itu, Achey turut merancang untuk menampilkan seorang lagi penyanyi dalam projek muziknya selepas Hari Raya, termasuk anaknya sendiri yang bakal membuat pelbagai cover lagu dalam versi kanak-kanak.

Ragam Raya terbitan Seventeen Eleven Music boleh mula distrim di semua platform penstriman muzik mulai Jumaat, 7 Mac 2025. Muzik video rasmi lagu ini juga boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music pada hari yang sama, jam 10 malam.

Komen
Loading...