Acha Septriasa & Vino G. Bastian Bersatu Kembali Dalam ‘Qodrat 2’ Selepas 17 Tahun
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu

Dua bintang terkenal Indonesia, Acha Septriasa dan Vino G. Bastian, kembali digandingkan dalam filem terbaru Qodrat 2, selepas 17 tahun tidak berlakon bersama di layar perak.
Filem bergenre seram aksi ini akan mula ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia bermula 17 April 2025.
Vino G. Bastian kembali sebagai Ustaz Qodrat, manakala Acha Septriasa muncul sebagai Azizah, isteri kepada watak utama tersebut, dalam penceritaan yang lebih mendalam dan emosional.
Acha Septriasa dan Vino G. Bastian turut hadir di Malam Gala Qodrat 2 di Kuala Lumpur.
Filem arahan Charles Gozali ini membuka babak dengan perspektif baharu – dari sudut pandang Azizah – yang memperlihatkan pengorbanan dan pergolakan batinnya selepas menyerahkan diri kepada syaitan Asu’ala dalam usaha menyelamatkan anak mereka.
Azizah kemudian dimasukkan ke hospital sakit jiwa dan bekerja di sebuah kilang fabrik misteri, sebelum Qodrat nekad menyelamatkannya daripada ancaman kuasa iblis.
Qodrat 2 menyatukan semula Acha dan Vino dalam naratif yang padat dengan aksi, unsur spiritual dan dramatik. Kemunculan semula Acha turut menjadi sorotan utama filem ini, memandangkan pelakon itu sudah lama tidak muncul di layar perak.
“Gandingan semula Acha dan Vino memberi nilai sentimental kepada peminat dan memperkukuh emosi penceritaan filem ini. Ia bukan sekadar filem seram, tetapi karya yang sarat dengan nilai kekeluargaan, iman dan perjuangan melawan kejahatan,” kata pengarah Charles Gozali.
Filem ini merupakan kesinambungan kepada Qodrat pertama yang mencatat lebih 1.7 juta penonton di Indonesia dan mencipta kutipan box office mencecah IDR60 bilion (USD5.3 juta).
Sekuel ini pula mencatat kejayaan memberangsangkan sejak ditayangkan di Indonesia pada 31 Mac lalu, apabila mencatat lebih 72,000 penonton pada hari pertama dan kini melepasi angka 2 juta penonton.
Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad menyatakan bahawa Qodrat 2 menampilkan gabungan elemen seram, aksi, adiwira dan keagamaan, dengan gandingan Acha dan Vino memperkukuh emosi dan penceritaan filem tersebut.
“Filem ini membawa gabungan menarik antara elemen seram, aksi, adiwira dan keagamaan. Gandingan dua pelakon hebat ini menambahkan lagi kekuatan filem dari segi emosi dan naratif.” katanya.
Sementara itu, Penerbit Linda Gozali Arya menyatakan bahawa Qodrat 2 memberi pengalaman sinematik yang lebih mendalam dan spiritual, dan beliau berharap penonton Malaysia akan terhubung dengan jalan ceritanya.
Selain Acha dan Vino, filem ini turut dibintangi oleh Donny Alamsyah, Della Dartyan, Hanna Saraswati dan Septian Dwi Cahyo. Ia diterbitkan oleh gabungan produksi ternama termasuk MAGMA Entertainment, Astro Shaw, Rapi Films, Legacy Pictures dan beberapa lagi.
Qodrat 2 akan mula menghantui pawagam Malaysia bermula 17 April 2025.