Ikuti Kami:

‘Accessible Luxury’ Jadi Misi Christy Ng Bawa Jenama Ke Peringkat Global

‘Accessible Luxury’ Jadi Misi Christy Ng Bawa Jenama Ke Peringkat Global

Bermula dengan modal kecil dan mimpi besar, jenama kasut dan beg wanita terkenal Christy Ng terus mengukuhkan kedudukan di pentas antarabangsa dengan membawa visi “accessible luxury” kepada pelanggan di seluruh Asia Tenggara.

Pembukaan semula kedai flagship MyTOWN Shopping Centre ini menjadi simbol perjalanan jenama tersebut daripada ruang tamu rumah pengasasnya pada 2012 ke rangkaian 13 kedai di Malaysia sehingga menembusi pasaran Indonesia dan bakal melangkah ke Filipina pada Oktober 2025.

Christy Ng berkata, misi mereka jelas iaitu menghasilkan produk berkualiti tinggi dengan harga yang mampu dimiliki tanpa mengorbankan gaya atau pengalaman membeli-belah.

“Kami mahu setiap pelanggan tanpa mengira latar belakang merasa selesa masuk ke kedai kami dan mampu membeli produk kami. Bayar RM1 tetapi dapat nilai RM3. Itulah yang kami cuba capai accessible luxury untuk semua,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan jenama Malaysia di pasaran serantau memerlukan keberanian untuk bersaing di arena antarabangsa yang sangat kompetitif.

“Persaingan di luar negara sangat sengit, terutama di Jakarta dan Manila. Sebab itu kami perlu sentiasa meningkatkan rekaan kedai, memperbaiki kualiti produk, dan menawarkan pengalaman membeli-belah yang menyeronokkan. Kami percaya menjadi jenama multi-channel adalah kunci, kerana pelanggan boleh membeli secara dalam talian atau di kedai, mengikut keselesaan mereka,” katanya.

Konsep baharu kedai MyTOWN yang diperkenalkan kali ini menampilkan rekaan “Cave of Curiosities” dengan ruang moden dan imersif yang menggabungkan elemen seni, tekstur dan bentuk untuk memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih menarik.

Selepas kejayaan pembukaan flagship di Jakarta pada Februari lalu syarikat itu menyasarkan sekurang-kurangnya lima kedai baharu di Indonesia tahun ini diikuti dua hingga tiga kedai di Filipina.

Pengembangan agresif di luar negara turut memperkukuh misi Christy Ng dan sasaran jangka panjang adalah melebihi 50 cawangan di rantau ini.

Christy Ng kini menghantar produknya ke 50 negara melalui platform e-dagang dan menganggap media sosial sebagai pemangkin besar kejayaan mereka yang membawa jenama lebih dekat di hati pelanggan.

“Dulu ramai yang meragui kami tetapi kami buktikan bahawa jenama Malaysia mampu berdiri di pentas dunia. Saya harap kisah ini menginspirasikan orang lain untuk berani mengejar impian,” tambah Christy.

Majlis pembukaan rasmi kedai MyTOWN hari ini dimeriahkan dengan pelbagai acara seperti persembahan, aktiviti interaktif serta sesi ramah mesra bersama pengasas, selain turut dihadiri rakan media dan pempengaruh.

Antara tarikan unik ialah basikal merah jambu ikonik hasil karya pasukan kreatif dalaman Bengap Brothers yang terkenal dengan kandungan media sosial jenama ini.

Maklumat Kedai:
Lot G-032, Aras Bawah
MyTOWN Shopping Centre, Jalan Cochrane
Cheras, 55100 Kuala Lumpur

Komen
Loading...