AC Mizal, JessC Gabung Tenaga Lancar Single “Mari Menari Raya”
- oleh MDaily Editor
- 9 Mar 2026 11:51 pm
Penghibur serba boleh, AC Mizal kembali memeriahkan industri muzik tanah air menjelang Aidilfitri menerusi single terbaharu berjudul Mari Menari Raya yang menampilkan kolaborasi bersama penyanyi antarabangsa Malaysia, JessC.
AC Mizal berkata, idea menghasilkan lagu berentak ceria dan rancak itu tercetus bagi memberi kelainan dalam himpunan lagu raya yang kebiasaannya bernada sentimental dan menyentuh emosi.
Menurutnya, pendekatan muzik yang lebih moden dan bertenaga dipilih bagi menjadikan lagu tersebut sesuai dengan selera generasi muda yang gemar kepada irama pop kontemporari.
Beliau berkata, walaupun jadual kerja masing-masing agak padat, proses rakaman berjaya disiapkan dalam tempoh singkat dengan kerjasama pasukan produksi yang teratur.
“Untuk bahagian saya, rakaman siap dalam satu malam sahaja kerana jadual agak padat. JessC pula mengambil masa kira-kira tiga hari untuk merakam bahagiannya.
“Kami rakam secara berasingan, tetapi semuanya berpandukan ‘guide track’ yang sudah disediakan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single tersebut di sini.

Datuk AC Mizal (kanan) dan JessC (kiri) bergambar kenangan sambil memegang piring hitam sebagai simbolik pelancaran single dan muzik video lagu berjudul Mari Menari Raya di Kuala Lumpur malam tadi.
AC Mizal turut menjelaskan bahawa walaupun keseluruhan lirik disediakan oleh pasukan produksi, beliau menulis sendiri bahagian rap yang menjadi identiti dalam lagu berkenaan.
Dari segi konsep, Mari Menari Raya menampilkan gabungan muzik pop moden dengan rentak hip-hop serta elemen tradisional Melayu bagi mewujudkan suasana segar dan lebih ‘trendy’.
Susunan muzik lagu tersebut turut menggabungkan bunyi dram elektronik, tepukan tangan, rentak hi-hat, melodi tiupan brass yang ceria serta alunan bass groove berirama yang memberikan warna moden kepada lagu berkenaan.
Liriknya pula membawa mesej perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia, selain menggambarkan kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Dalam dunia hiburan, kita kena sentiasa ikut perkembangan zaman. Tak kira lagu, drama atau filem, semuanya berkait rapat dengan trend semasa.
“Walaupun saya sudah lebih 30 tahun dalam industri, saya sentiasa cuba membawa sesuatu yang segar supaya muzik kita terus hidup,” katanya.
Dalam pada itu, AC Mizal turut memuji keberanian JessC yang sanggup menyanyikan lagu raya dalam bahasa Melayu walaupun berlatarbelakangkan budaya berbeza.
Menurutnya, usaha penyanyi tersebut menunjukkan semangat menghargai kepelbagaian budaya di Malaysia.
“Jarang kita lihat penyanyi bukan Melayu menyanyikan lagu raya. Saya fikir usaha JessC ini wajar diberi pujian kerana dia menghormati budaya dan perayaan kita.
“Sebab itu saya terima tawaran ini kerana ia bukan sekadar lagu, tetapi simbol perpaduan dan penghargaan antara budaya,” katanya.
Sementara itu, JessC berkata, idea menghasilkan lagu raya tercetus apabila beliau melihat muzik perayaan itu membawa mesej positif yang mampu menyatukan masyarakat.
Menurutnya, tema saling memaafkan dan kegembiraan yang menjadi inti pati sambutan Aidilfitri memberi inspirasi kepadanya untuk menghasilkan lagu yang ceria dan penuh semangat.
“Lagu raya selalu mempunyai mesej positif seperti saling memaafkan dan menghargai antara satu sama lain. Saya sangat suka muzik yang boleh memberi penyembuhan kepada jiwa,” katanya.

Datuk AC Mizal (kanan) dan JessC (kiri) bersedia menjawab soalan wartawan sempena sidang media pelancaran single dan muzik video lagu berjudul Mari Menari Raya di Kuala Lumpur malam tadi.
JessC yang juga pemenang anugerah Best Asia Pop Winner di pertandingan muzik antarabangsa ICMA di Amerika Syarikat berkata, pengalaman bertanding di peringkat global banyak membuka peluang untuk memperkenalkan muzik dari Malaysia ke pentas dunia.
Malah, 16 video muzik nyanyiannya sebelum ini berjaya mencatat lebih 28 juta tontonan di YouTube, sekali gus membuktikan karya muzik Asia mempunyai potensi besar untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Menurutnya lagi, pengalaman mengembara ke pelbagai negara turut membuatkan beliau semakin menghargai keunikan Malaysia yang mempunyai kepelbagaian budaya dan bahasa.
“Saya pernah ke banyak negara, tetapi bagi saya Malaysia adalah antara yang terbaik kerana masyarakatnya hidup bersama walaupun berlainan budaya dan bahasa,” katanya.
JessC turut menyifatkan kerjasama bersama AC Mizal sebagai pengalaman yang sangat menyeronokkan kerana personaliti penghibur itu yang bertenaga, kreatif dan berkarisma di pentas hiburan.
Menariknya, video muzik Mari Menari Raya kini turut menyertai pertandingan muzik antarabangsa ICMA di Amerika Syarikat serta mula mendapat perhatian penggiat industri hiburan di Jepun.
Beliau berharap penerimaan positif tersebut dapat membantu memperkenalkan lagu raya Malaysia kepada masyarakat antarabangsa, sekali gus memperluaskan pengaruh muzik tempatan di pentas global.




