AC Mizal Jawab Tuduhan Tidak Bayar Gaji, Akan Ambil Tindakan Undang-Undang
- oleh Mohd Indera
- 4 minggu lalu
Baru-baru ini, media sosial hangat apabila seorang individu mendakwa bahawa dirinya tidak menerima gaji selama tiga bulan daripada sebuah stesen televisyen yang dimiliki oleh pengacara dan pelakon terkenal, Datuk AC Mizal.
Dalam satu kenyataan balas, AC Mizal tampil menjelaskan situasi sebenar dan menafikan tuduhan tersebut.
AC Mizal menjelaskan bahawa beliau merasa terpanggil untuk menjawab tuduhan yang tular di media sosial oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab.
“Saya AC Mizal terpanggil untuk menjawab kenyataan fitnah dan tohmahan yang tular di media sosial oleh beberapa individu yang tidak bertanggungjawab.
“Sepatutnya saya tak perlu balas dan jawab kenyataan yang tular tetapi memandangkan ramai yang tahu dan bertanya mengenai isu ini, untuk mengelak salah faham dan fitnah, saya perlu jelaskan isu ini,” katanya.
AC Mizal menjelaskan bahawa beliau telah mengambil tindakan undang-undang dengan melantik peguam dan mengarahkan pihak stesen televisyen Suke TV untuk bertindak segera terhadap individu yang menyebarkan dakwaan tersebut.
“Saya telah mengarahkan peguam saya dan pihak Suke TV untuk ambil tindakan undang-undang serta merta terhadap individu terbabit,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa tuduhan yang tular itu datang daripada bekas staf yang diberhentikan kerana didapati melanggar syarat perkhidmatan dengan syarikat.
“Kami mempunyai semua bukti tetapi kami tak akan canang dekat umum. Tindakan seterusnya, saya serah dekat proses undang-undang mahkamah dan keadilan negara kita. Mohon fikir secara tenang dan henti sebar fitnah yang tak berasas,” tegas AC Mizal.
Menutup kenyataannya, AC Mizal dan pihak Suke TV menyatakan kesediaan mereka untuk berbincang dengan mana-mana pihak secara profesional.
Beliau mengingatkan agar isu-isu seperti ini disalurkan melalui saluran yang betul dan bukan menggunakan media sosial untuk tujuan yang tidak wajar.
“Pihak saya dan Suke TV sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak sekiranya ada isu. Asal guna saluran yang betul. Jangan salah guna sosial media untuk kepentingan yang tertentu. Terima kasih,” ujar beliau.