Ikuti Kami:

Abu Si Raksasa Satukan Sophia dan Jaa Suzuran Dalam Filem Kaiju Pertama Malaysia

Abu Si Raksasa Satukan Sophia dan Jaa Suzuran Dalam Filem Kaiju Pertama Malaysia

Tiga bintang popular tanah air, Sophia Al Barakbah, Jaa Suzuran dan Afieq Shazwan digandingkan buat kali pertama dalam filem sains fiksyen tempatan berjudul Abu Si Raksasa, sekali gus menandakan kelahiran filem genre Kaiju pertama di Malaysia.

Filem terbitan M Toons Media Sdn. Bhd. ini mengangkat kisah seekor cicak salamander peliharaan bernama Abu yang bertukar menjadi makhluk gergasi akibat pencemaran bahan kimia di sebuah empangan. Ia bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 11 September 2025.

Penerbit, Zamin Fakry berkata, idea menghasilkan filem ini tercetus selepas berbincang dengan pakar alam sekitar, Prof. Dr. Hezri Adnan, yang kemudiannya memberi ilham untuk mengangkat isu pencemaran menerusi pendekatan filem fiksyen.

“Kami mahu tampilkan sesuatu yang berbeza daripada genre lazim seperti seram, komedi dan aksi. Dengan ‘Abu Si Raksasa’, kami tonjolkan mesej alam sekitar melalui hiburan,” katanya.

Filem ini menyaksikan Sophia membawa watak Zaara, seorang gadis yang memelihara cicak salamander yang diberi nama Abu. Selepas Abu terlepas ke empangan yang tercemar dengan sisa bahan pencuci ROXCCID, haiwan itu berubah menjadi raksasa.

Zaara bersama dua rakannya, Sofiyan (lakonan Jaa Suzuran) dan Zidan (Zalif Sidek), kemudian berusaha menyelamatkan Abu daripada ancaman pihak berkuasa yang diketuai Kapten Fayyad (Afieq Shazwan) dan Kolonel Zamrose.

Menurut Zamin, filem ini menelan belanja kira-kira RM2 juta termasuk kos CGI dan VFX, dan menerima sokongan dana daripada Kementerian Komunikasi dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).

Pengarah, Ramdan Che Hassan yang turut menulis skrip berkata, cicak salamander dipilih kerana haiwan itu bersifat unik, tidak berbahaya dan boleh hidup di dua alam, sesuai untuk dijadikan teras kepada penceritaan.

“Cicak salamander bukan haiwan ganas, malah ada laporan mengatakan ia boleh membesar luar biasa. Ini memberikan kami asas yang kukuh untuk membina naratif berunsur realisme sains,” jelasnya.

Tambahnya, 40 peratus daripada filem ini melibatkan penggunaan CGI dan proses pra-produksi memerlukan penyelidikan serta perancangan rapi bagi memastikan visual yang dihasilkan dapat memberi impak yang realistik.

Penggambaran berlangsung pada September 2023 di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang termasuk Tasik Tadom, Kajang, Banting dan Sungai Buaya.

Selain Sophia, Jaa Suzuran dan Afieq Shazwan, filem ini turut dibintangi Zalif Sidek, Azhar Sulaiman, Maria Farida, Adam Shahz, Samarinna Tolhip, Farid Amirul Hisham, Azri Iskandar, Along Eyzendy dan Daddy Rock.

Penampilan khas turut diserikan oleh Dato Rizal Mansor, Ayahanda Rani Kulop, Mustaqim Bahadon dan Kamarool Hj Yusof.

Abu Si Raksasa diangkat sebagai satu percubaan berani dalam memperkenalkan genre baharu dalam industri perfileman tempatan, sekaligus membuka peluang kepada lebih banyak karya fiksyen dan kesan khas tempatan di masa hadapan.

Komen
Loading...