Ikuti Kami:

Abang Imam Minah Skuter Cuit Hati Penonton, Tonton Eksklusif Di Viu Mulai 24 Julai

Abang Imam Minah Skuter Cuit Hati Penonton, Tonton Eksklusif Di Viu Mulai 24 Julai

Penonton Malaysia bakal dihiburkan dengan sebuah naskhah komedi romantik yang segar dan mencuit hati menerusi Abang Imam Minah Skuter (Dear Crush, I Love You), drama bersiri terbaharu yang akan ditayangkan secara eksklusif di Viu bermula 24 Julai ini.

Abang Imam Minah Skuter adalah hasil kerjasama pertama antara Viu Malaysia dan Zeel Production, penerbit yang cukup sinonim dengan karya kekeluargaan dan komedi.

Diterajui oleh pengarah Helmi Yusof, drama ini bukan sahaja sarat dengan jenaka tempatan, malah turut menyelitkan mesej tentang nilai komuniti, penerimaan diri dan cinta yang tidak dijangka.

Drama 12 episod ini membawa penonton menyelami suasana kampung yang penuh warna dan konflik jenaka, menampilkan gandingan serasi pelakon popular Zarif Ghazi dan Bella Dowanna sebagai watak utama yang sering bertelagah namun perlahan-lahan jatuh cinta.

Dihasilkan sepenuhnya di Perlis, siri ini turut diserikan oleh lakonan mantap barisan pelakon terkenal seperti Zulin Aziz, Bella Hanna, Sharifah Rose, Marc Sadique, Amir Haikal, Khai Bahar, Usop Wilcha, Kazar Saisi, Acong Sweetchild dan Man Raja Lawak.

Mengisahkan tentang Zarul, seorang jejaka bandar yang cuba melarikan diri daripada perkahwinan yang diatur, namun tanpa diduga terjebak menjadi imam ‘tidak rasmi’ di sebuah kampung terpencil yang penuh dengan kerenah dan peraturan pelik.

Wataknya yang tidak biasa itu menjadi perhatian, malah mengejutkan apabila dia menjadi rebutan wanita kampung kecuali seorang: Mardhiah, gadis penghantar makanan yang berdikari dan langsung tidak tertarik padanya.

Konflik menjadi semakin menarik apabila Zarul terperangkap dalam perebutan kuasa kampung dan terpaksa menyembunyikan identiti asalnya, sambil berdepan dengan tiga jejaka tua yang menubuhkan “Kelab Jejaka Andartu” dan seorang ketua kampung yang penuh helah. Dalam kekacauan itulah, benih cinta dan penerimaan mula berputik.

Menambah lagi keterujaan menjelang tayangan rasmi, telah berlangsung majlis pelancaran drama ini di Petaling Jaya hari ini yang turut dihadiri oleh barisan pelakon utama serta tenaga produksi, termasuk pengarah dan wakil dari Viu Malaysia dan Zeel Production.

Pengarah Pembangunan Vuclip Malaysia, Steven Lim berkata, drama ini mencerminkan pendekatan Viu dalam mengetengahkan kandungan tempatan yang dekat di hati rakyat Malaysia.

“Kami yakin Abang Imam Minah Skuter mampu mencuit hati dan menyentuh emosi penonton dengan ceritanya yang ringan tetapi penuh makna. Kolaborasi ini menandakan usaha berterusan kami untuk menyajikan kandungan asli tempatan yang berkualiti tinggi,” katanya.

Episod pertama drama ini turut ditayangkan secara eksklusif kepada hadirin, memberikan gambaran awal mengenai kisah menarik yang bakal menemui penonton.

Suasana menjadi lebih istimewa apabila para pelakon turut menyertai aktiviti santai bersama wakil media menerusi permainan Pickle Ball yang berlangsung penuh kemesraan dan gelak ketawa.

Siri ini boleh ditonton menerusi aplikasi Viu di App Store, Google Play, Huawei AppGallery, TV Pintar atau laman web rasmi www.viu.com.

Komen
Loading...