Abang “Gym” Kini Bekerja Di Pasar Borong Selepas Kehilangan Pendapatan
- oleh Mohd Indera
- 5 tahuns lalu
Chin Jie Xun dahulunya mempunyai tiga pekerjaan namun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijalankan sejak 18 Mac lalu, dia mendapati dirinya tidak lagi mempunyai pendapatan. Jurulatih kecergasan ini kemudian memilih untuk bekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur sejak sebulan lalu.
Dia ditawarkan pekerjaan di pasar borong itu melalui rakannya dan tanpa berfikir panjang, dia menerimanya dengan hati terbuka. Selepas bekerja di situ, dia mengakui ianya bukanlah satu pekerjaan yang mudah kerana ia memerlukan kekuatan tenaga yang tinggi.
Namun dia bersyukur apabila dia mampu memperoleh RM80 hingga RM100 sehari selepas enam jam bekerja.
Sebagai seorang jurulatih kecergasan, pekerjaan di pasar borong ini turut membantunya bersenam dengan melakukan kerja-kerja berat mengangkat stok yang dijual. Chin mengakui pandemik COVID-19 ini sememangnya memberikan tamparan yang besar dalam kehidupannya yang kini berbeza.
Dia turut menasihati mereka yang mahu bekerja di sektor yang sama sepertinya supaya tidak mudah berputus asa dan terus berjuang apatah lagi dalam situasi ekonomi yang agak sukar ini. Untuk makluman, Pasar Borong Harian Selayang juga sedang mencari pekerja-pekerja tempatan yang berminat untuk bekerja di sana.
“Kalau ada kerja yang boleh dilakukan, jadi lakukanlah. Lebih baik daripada tinggal di rumah dan tidur yang tidak akan memberi pendapatan kepada anda.”
Keputusan yang diambil oleh Chin ini turut menerima pujian daripada chef selebriti, Chef Wan yang berkongsikan perkara tersebut di laman Instagram miliknya. Chef Wan memberitahu sikapnya yang bersedia untuk melakukan pekerjaan sukar ini menjadi contoh yang baik kepada graduan baru untuk bertahan dalam masa yang sukar ini.
Tambah Chef Wan lagi, mereka yang ingin berjaya mesti mengubah sikap mereka sendiri terlebih dahulu, bangun dan menyedari bahawa mereka perlu membuat perubahan dalam kehidupan yang membuat mereka kecewa dan tertekan.
“Jika kita mempunyai sikap memilih kerja, suka membuta dan tidur seharian dan menonton TV atau mengharap kan mak bapak menanggung saraan hidup kita sedangkan kita dah besar panjang, buat apa pun tak akan jadi dan hidup kita tidak selamat,” katanya di dalam kapsyen itu.