“Abah Saya, Uncle Mike”: Menghidupkan Semangat Kekeluargaan Tanpa Batasan Bangsa
- oleh Mohd Indera
- 1 minggu lalu
Astro Shaw dan Etika Sdn. Bhd. dengan bangganya mempersembahkan filem terbaru bertajuk “Abah Saya, Uncle Mike”, sebuah kisah penuh inspirasi tentang kasih sayang yang melangkaui batas bangsa dan agama.
Raja Jastina Raja Arshad, Naib Presiden dan Ketua Astro Shaw percaya bahawa nilai kekeluargaan yang tulus adalah asas keharmonian masyarakat.
“Kami percaya bahawa nilai kekeluargaan yang tulus adalah asas keharmonian masyarakat. Melalui filem ini, kami ingin menonjolkan semangat perpaduan dan kasih sayang yang menjadi kekuatan unik Malaysia,” ujurnya.
Filem ini mengangkat kisah benar Michael Tong Wai Siong, atau Uncle Mike, seorang lelaki Cina yang membesarkan tiga anak angkat Melayu beragama Islam.
Kisah ini menjadi inspirasi kepada masyarakat Malaysia, sehingga Uncle Mike dianugerahkan Anugerah Maulidur Rasul 2024 atas jasa dan dedikasinya.
Foto: BERNAMA
“Uncle Mike adalah simbol kasih sayang tanpa sempadan. Kisahnya memberikan inspirasi tentang pengorbanan dan bagaimana kekeluargaan tidak hanya terbatas kepada hubungan darah,” tambah Raja Jastina.
Ezrie Ghazali, sutradara muda berbakat yang mengarahkan filem ini berkata Pertemuan dua perayaan besar – Tahun Baharu Cina dan Hari Raya – menjadi peluang sempurna untuk memaparkan keunikan tradisi dan harmoni keluarga Malaysia
“Kami ingin memastikan filem ini membawa perasaan autentik dan dapat menyentuh hati penonton, tidak kira latar belakang mereka,” jelas Ezrie.
Filem ini menampilkan Andy Teh sebagai Uncle Mike, bersama pelakon pelbagai bangsa seperti Idan Aedan, Nor Merah, dan Umar Shakur.
Dalam usaha mempromosikan filem ini, Astro Shaw dan Etika melancarkan treler programatik khas yang mencerminkan perpaduan budaya melalui perayaan. Treler pertama, berlatarkan Tahun Baharu Cina, menampilkan kisah unik ini sambil menggabungkan mesej harmoni dan kebersamaan.
Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn. Bhd, Amy Gan berkata kerjasama ini membolehkan kami berkongsi semangat kekeluargaan yang sejati, terutama dengan pelancaran treler programatik sempena musim perayaan.
“Sebagai jenama yang sudah lama sinonim dengan perayaan rakyat Malaysia, Etika berbangga dapat menyokong filem ini. 7UP sebagai simbol kebersamaan dan keceriaan menjadi pelengkap sempurna untuk meraikan semangat kekeluargaan dalam filem ini.” katanya.
Filem “Abah Saya, Uncle Mike” dijangka menemui penonton di pawagam tahun ini, membawa mesej mendalam tentang perpaduan, kasih sayang, dan kekeluargaan.
Foto Oleh : Xavier Naxa