‘A Night Blooming with Roses & Love’: Samy Simorangkir Cetus Fenomena, Tiket Hampir Habis!
- oleh MDaily Editor
- 4 Dec 2025 8:33 pm
Konsert solo penyanyi berkaliber Indonesia, Samy Simorangkir, di Malaysia, ‘A Night Blooming with Roses & Love Live in KL – Vol.1’, mencetuskan fenomena apabila jualan tiket kini dilaporkan sudah melepasi paras 80%.
Penganjuran konsert yang bakal berlangsung pada 27 Disember 2025 di ZEPP Kuala Lumpur ini menunjukkan sambutan yang sangat hangat daripada peminat balada di rantau ini.
Pengasas Ideatelier, Ezuwan Ismail, yang pertama kali menganjurkan konsert berskala besar, melahirkan rasa teruja dengan maklum balas positif yang diterima.
,
“Alhamdulillah, walaupun ini adalah konsert pertama anjuran kami, jualan sudah menceah 80% dengan strategi pemasaran yang berkesan,” katanya.
Berdasarkan maklumat daripada pihak penganjur, tiket kategori paling premium, VIP Box Juliet Rose (maksimum 10 Pax) yang berharga RM7,999 telah habis dijual (sold out).

Ini meninggalkan baki tiket dalam lingkungan harga dari RM249 hingga RM549 bagi kategori lain. Dengan hanya tinggal 20% sahaja lagi tempat duduk, peminat dinasihatkan untuk segera mendapatkan tiket mereka bagi mengelakkan kekecewaan.
Tiket yang masih tersedia termasuk kategori Berdiri Bebas (Free Standing) pada harga antara RM249 hingga RM299. Manakala bagi kategori Tempat Duduk Bernombor (Numbered Seating), harganya adalah dalam lingkungan RM349 hingga RM549.

Konsert yang dijadualkan bermula pada pukul 8.30 malam ini dijangka akan membawa peminat mengimbau kembali lagu-lagu hits Samy Simorangkir, menjanjikan malam yang penuh dengan emosi dan persembahan vokal yang mantap.
Tiket boleh didapati di laman rasmi golive-asia.com.
Dalam pada itu, Ideatelier terus melangkah kehadapan dengan mengumumkan konsert mega Sembilu The Reunion Live In Concert yang menghimpunkan tiga nama besar iaitu Dato Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain di Axiata Arena, Kuala Lumpur pada 7 Februari 2026.




