Ikuti Kami:

A.C.A.B Tutup Tirai Tiga Dekad dengan Konsert Terakhir Bring Back The Bootboys

A.C.A.B Tutup Tirai Tiga Dekad dengan Konsert Terakhir Bring Back The Bootboys

Band legenda Oi! Malaysia, A.C.A.B, secara rasmi menamatkan perjalanan muzik mereka selama 30 tahun dengan konsert terakhir bertajuk Bring Back The Bootboys yang berlangsung pada 21 Disember 2024 di Zepp KL.

Acara selama tiga jam yang dianjurkan oleh A.C.A.B Productions ini mencatatkan kehadiran penuh dengan 2,414 penonton, menandakan kejayaan besar untuk band yang telah mencipta legasi luar biasa dalam dunia muzik underground tempatan.

Konsert ini, dinamakan 30th Anniversary: A.C.A.B Last Konsert – Bring Back The Bootboys, juga menjadi persembahan terakhir A.C.A.B sebelum kumpulan tersebut secara rasmi dibubarkan.

Sejak diasaskan di Kuala Lumpur, A.C.A.B telah menjadi pelopor genre Eastern Oi! di Malaysia. Mereka bukan sahaja menyumbang kepada muzik underground tempatan, tetapi juga menjadi inspirasi kepada generasi baru pemuzik di Malaysia dan luar negara.

Konsert ini membawa nostalgia dengan barisan tiga line-up asal A.C.A.B yang pernah terlibat dengan album-album mereka. Antara anggota yang terlibat termasuk Zul (drums), Black (drums), Hardy Sham (bass), Irfan (drums), Am Isa (keyboard), serta Mono (bass).

Selain itu, persembahan malam ini turut dilengkapkan oleh Megat Hafiz (gitar & vokal utama), Edy (gitar & vokal), serta Andy (bass jemputan), menjadikan malam ini penuh kehangatan dan kenangan indah.

Band pembuka, Haymaker, yang diterbangkan khas dari Eropah, memulakan persembahan dengan 8 lagu, termasuk lagu cover popular mereka, Skinhead 4 Life, yang mempopularkan A.C.A.B di peringkat antarabangsa.

Peminat A.C.A.B disajikan dengan 37 lagu yang meliputi keseluruhan diskografi mereka. Setlist ini merangkumi lagu penuh dan medley sebanyak 18 lagu, termasuk karya ikonik daripada album Eastern Oi!, Skinhead 4 Life, dan Bangun, serta lagu dari album mini Demonstration ’95 Revisited.

Sebagai penghormatan terakhir, A.C.A.B menutup konsert dengan lagu ikonik mereka, Where Have All The Bootboys Gone? Lagu yang menjadi tema bagi peminat skin pada era tersebut bergema di Zepp KL, menghidupkan semula semangat zaman itu dan menandakan penutup yang penuh emosi untuk malam bersejarah ini.

Konsert Bring Back The Bootboys bukan sekadar persembahan; ia adalah perayaan dan penghormatan kepada legasi sebuah band yang telah menyatukan peminat dari pelbagai latar belakang.

Dengan kehadiran penuh dan sokongan padu, malam ini menjadi kenangan abadi, sebagai tanda perpisahan dengan sebuah ikon muzik Malaysia.

Foto Oleh: Papadin.

Komen
Loading...