Ikuti Kami:

A.C.A.B Tutup Perjalanan 30 Tahun dengan Konsert Terakhir di Zepp KL

A.C.A.B Tutup Perjalanan 30 Tahun dengan Konsert Terakhir di Zepp KL

Band legenda Oi! Malaysia, A.C.A.B, bakal menutup tirai perjalanan muzik mereka yang sudah menjangkau tiga dekad dengan sebuah konsert terakhir berjudul Bring Back The Bootboys pada 21 Disember 2024.

Konsert yang akan berlangsung di Zepp KL ini dijadualkan selama tiga jam, bermula pada jam 7.45 malam, dan dianjurkan oleh A.C.A.B Productions.

Selama 30 tahun, A.C.A.B telah memainkan peranan penting dalam mengangkat muzik underground tempatan, khususnya genre Eastern Oi!, dan menjadi inspirasi kepada banyak band dari dalam dan luar Malaysia.

Band yang bermula sebagai sebuah kumpulan kecil dari Kuala Lumpur ini bukan sahaja terkenal dengan muzik Oi!, malah turut bereksperimen dengan pelbagai genre lain seperti Heavy Metal dan Indie Rock sepanjang perjalanan mereka.

Vokalis dan gitaris A.C.A.B, Max Mohammad, meluahkan rasa bangganya terhadap pencapaian band itu.

“Aku bangga dengan apa yang A.C.A.B dah buat selama 30 tahun. Kami nak raikannya dengan konsert terakhir di Zepp KL.

“Kami dah capai matlamat untuk menyatukan pendengar dari pelbagai latar belakang, dan tak ada band lain yang berjaya satukan Skinheads, Punk, Mods, Heavy Metal, dan mainstream seperti A.C.A.B,” ujar Max.

Konsert perpisahan ini akan mempertemukan semula ahli asal band, bersama dengan line-up terkini serta beberapa bekas anggota lain.

Turut serta dalam persembahan ini ialah band pembuka, Haymaker, yang diterbangkan khas dari Eropah. Haymaker pernah mempopularkan versi cover lagu A.C.A.B, Skinhead 4 Life di luar negara.

Para peminat A.C.A.B bakal disajikan dengan setlist yang mengandungi 37 lagu, merangkumi keseluruhan diskografi mereka.

Lagu-lagu daripada album seperti Eastern Oi!, Skinhead 4 Life, dan Bangun akan dipersembahkan, termasuk beberapa medley dan lagu penuh dari album mini Demonstration ‘95 Revisited yang diterbitkan pada 2020.

Tiket konsert tersebut hampir habis dijual, dengan hanya kategori CAT 2 masih boleh didapati melalui pautan rasmi di laman web https://www.myticketempire.com/acabfinalconcert

Selain itu, barangan eksklusif seperti merchandise rasmi dan autobiografi bertajuk The Untold Story of A.C.A.B, yang ditulis oleh Max Mohammad, turut akan dijual semasa konsert.

Dengan kejayaan besar sepanjang tiga dekad, konsert terakhir ini dijangka menjadi satu acara yang penuh emosi, menyatukan peminat dari pelbagai latar belakang yang telah memberi sokongan padu kepada A.C.A.B selama ini.

Foto Oleh: Papadin (Amoz)

Komen
Loading...