JAKARTA: Sebuah keluarga tujuh beranak disahkan positif COVID-19 yang berpunca daripada ketua keluarga bersolat sunat tarawih di masjid.
Kompas melaporkan, keluarga dari daerah Joyotakan, Solo itu terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita termasuk kanak-kanak berusia dua tahun.
“Keluarga ini dijangkiti daripada bapa berusia 58 tahun yang bersolat tarawih di masjid,” kata pegawai pencegahan COVID-19 Kota Solo, Ahyani pada Rabu (13 Mei)
“Ujian swab menunjukkan semua mereka positif apabila ketua keluarga itu mula mengalami gejala.
“Saringan kontak rapat mendapati enam ahli keluarganya turut positif dan menunjukkan gejala,” katanya seperti dilaporkan Kompas.
Pihak berkuasa kini sedang mengesan punca penularan wabak di masjid dan kontak rapat lelaki itu.
Sumber : Kompas