Ikuti Kami:

64 Sekolah Berentap di Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Selangor Future Cup 2025

64 Sekolah Berentap di Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Selangor Future Cup 2025

Sebanyak 64 sekolah menengah dari seluruh Selangor bakal bertanding dalam kejohanan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Selangor Future Cup 2025, yang akan berlangsung pada 22 dan 23 Februari 2025 di AEON Mall Shah Alam.

Kejohanan ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor menerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan bagi mengangkat e-sukan ke peringkat lebih tinggi dalam kalangan pelajar sekolah.

Menurut EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan Selangor, Y.B. Tuan Mohd Najwan Bin Halimi, kejohanan ini bukan sekadar medan pertandingan, tetapi juga platform mencungkil bakat baharu yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Selangor Future Cup 2025 bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat e-sukan dalam kalangan pelajar sekolah, tetapi juga membentuk mereka sebagai atlet yang kompetitif, memiliki pemikiran strategik, serta mampu bekerjasama dalam satu pasukan.”

“Kejohanan ini juga berperanan sebagai platform mengenal pasti pemain berbakat untuk diserap ke dalam pasukan negeri bagi menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026,” katanya.

Selain peluang beraksi di kejohanan berprestij ini, pemenang Selangor Future Cup 2025 bakal menerima biasiswa bernilai RM160,000 daripada TODAK Academy untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma Kemahiran, membuka laluan kepada pelajar untuk mendalami e-sukan secara profesional.

Kejohanan ini turut mendapat sokongan daripada Selangor Red Giants (SRG) dan TODAK, yang akan menyediakan bimbingan profesional kepada peserta.

Kerjasama strategik ini, menurut Y.B. Mohd Najwan, membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam membangunkan ekosistem e-sukan dan keusahawanan digital di Selangor.

“E-sukan kini bukan lagi sekadar hiburan, tetapi telah berkembang menjadi satu industri besar yang mampu menjana ekonomi dan membangunkan bakat muda. Kerajaan Negeri Selangor komited dalam memperkasa e-sukan sebagai sukan arus perdana serta sebagai satu cabang keusahawanan digital bagi generasi akan datang,” tambahnya.

Dengan 64 sekolah berentap merebut kejuaraan, Selangor Future Cup 2025 dijangka menjadi kejohanan yang dinantikan dalam kalangan peminat e-sukan dan bakal melahirkan bintang baharu dalam arena MLBB tempatan.

Komen
Loading...