Seramai 51 anggota `Geng Otong’ termasuk warga Indonesia dan Myanmar didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang kerana mendalangi sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI), antara 2015 hingga tahun ini.
Semua tertuduh berusia 21 hingga 59 tahun itu yang membabitkan 19 lelaki tempatan, dua wanita tempatan, tiga pemastautin tetap, 25 warga Indonesia termasuk seorang wanita serta dua lelaki Myanmar.
Mereka yang juga anggota sindiket penyeludupan manusia membabitkan tekong darat, ejen, penjaga rumah penampungan/transit selain transporter.
Semua mereka mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zahilah Mohammad Yusoff.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) manakala kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Semua 51 tertuduh itu didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Otong antara Januari 2015 hingga Jun tahun ini di dalam daerah Kota Tinggi, Johor.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 130 V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.
Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Putrajaya diketuai Idham Abd Ghani serta Rohaiza Abd Rahman dan Izzat Fauzan.
Hakim kemudian menetapkan tarikh sebutan semula pada 27 Ogos ini.
Terdahulu semua 51 tertuduh dibawa dengan empat trak dan sebuah van seawal jam 8.30 pagi ke Mahkamah Kota Tinggi.
Mereka dikawal ketat oleh puluhan anggota bersenjata dengan setiap tingkat turut ditempatkan anggota keselamatan bagi membuat kawalan prosiding selama satu jam itu selain ahli keluarga dan orang ramai tidak dibenarkan memasuki premis mahkamah.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, turut memantau perjalanan kes berkenaan di perkarangan mahkamah berkenaan.
Selasa lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan berjaya menumpaskan sepenuhnya kegiatan penyeludupan PATI terbesar di negara ini dengan melumpuhkan tiga sindiket penyeludupan utama menerusi Op Benteng: COVID 19 di Johor, Perak dan Pulau Pinang baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, dilaporkan berkata operasi dilaksanakan secara serentak menerusi operasi khas, Op Pintas Selatan 2020 (Johor), Op Benteng Lintang (Perak) dan Op Arakan (Pulau Pinang) bermula 4 Jun sehingga 20 Jun lalu.
Sumber: Berita Harian.