5,000 Pengunjung Meriahkan Karnival Kita Peduli mySalam: Sokongan Kesihatan dan Kewangan untuk Golongan B40
- oleh Mohd Indera
- 3 minggu lalu
Karnival Kita Peduli mySalam yang dianjurkan di AEON Mall Bukit Raja pada hari ini berjaya menarik sekitar 5,000 pengunjung, yang hadir untuk memeriahkan acara dan mendapat pendedahan lebih mendalam mengenai Skim Perlindungan Kesihatan Percuma mySalam.
Dikelola oleh Great Eastern Takaful Berhad (GETB), karnival ini bertujuan meningkatkan kesedaran awam tentang manfaat perlindungan kesihatan percuma serta pengurusan kewangan yang penting untuk kestabilan hidup.
Skim mySalam, yang diperkenalkan sejak 2019, telah memberi impak besar kepada segmen masyarakat berpendapatan rendah (B40), dengan jumlah tuntutan yang hampir mencapai 2 juta.
Ketua Skim Perlindungan mySalam, En. Syuhaib Ithnin, menyatakan komitmen mereka membantu golongan B40 yang memerlukan perlindungan, terutama ketika menghadapi penyakit kritikal atau perlu hospitalisasi.
“Sebagai badan pengurusan skim mySalam yang kini dilanjutkan sehingga 2025, kami sangat prihatin terhadap golongan B40 yang amat memerlukan perlindungan ini, terutamanya dalam menghadapi penyakit kritikal atau dihospitalisasi. Sehingga kini, lebih RM1.05 bilion telah disalurkan untuk membantu 1.35 juta penerima manfaat.” katanya di sidang media.
Karnival ini bukan sahaja memfokuskan kepada mySalam tetapi turut memanfaatkan kesempatan untuk menyebarkan ilmu tentang literasi kewangan. GETB menekankan kepentingan masyarakat merancang kewangan mereka dengan lebih bijak, termasuk mengelakkan hutang berlebihan dan menyimpan untuk masa hadapan.
“Kami mahu masyarakat lebih cakna tentang pengurusan kewangan demi kestabilan diri dan keluarga mereka,” tambah Syuhaib.
Karnival ini turut disokong oleh Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Timbalan Presidennya, En. Radhi Khalid, menyatakan ramai ahli KARYAWAN layak menerima manfaat mySalam, dan ini inisiatif kerajaan yang luar biasa untuk rakyat Malaysia.
“Berdasarkan semakan awal di kalangan ahli persatuan kami, kira-kira 3,000 orang layak menerima manfaat mySalam. Kami berkomitmen untuk menghubungi setiap seorang daripada mereka supaya tiada siapa yang terlepas peluang ini. Ini adalah peluang yang sangat berharga, dan kami ingin memastikan semua orang mendapatkan maklumat yang mereka perlukan.” katanya.
Beliau turut menambah bahawa inisiatif ini merupakan usaha kerajaan yang sangat bermakna bagi menyokong rakyat Malaysia, khususnya mereka yang memerlukan bantuan ketika menghadapi kesukaran kesihatan atau kewangan.
Selain perkongsian tentang skim perlindungan, pengunjung juga dihiburkan dengan pelbagai aktiviti menarik. Helmi Gimmick mengendalikan segmen Kuiz Kewangan yang interaktif, manakala persembahan artis seperti Ito & Band, Mel Wings, dan MJ Suren memeriahkan suasana.
Aktiviti lain termasuk cabutan rezeki, pemeriksaan kesihatan percuma, pertandingan menyanyi, dan sesi mewarna, menjadikan karnival ini satu acara penuh pendidikan sambil berhibur untuk semua lapisan masyarakat.
Karnival Kita Peduli mySalam ini jelas berjaya menyatukan elemen kesedaran kesihatan dan literasi kewangan dalam suasana yang menghiburkan, memupuk kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia tentang manfaat skim perlindungan kesihatan percuma yang disediakan.
Foto Oleh : Pa Pa Din (Amoz)