Ikuti Kami:

50 Artis Tempatan Bakal Gegarkan Rooftop @7 MyTOWN KL 14 Februari Ini

50 Artis Tempatan Bakal Gegarkan Rooftop @7 MyTOWN KL 14 Februari Ini

Atas Angin Festival 2026 yang membawa tema ‘One Last Shine’ bakal menghimpunkan 50 artis tempatan dalam satu acara maraton muzik selama 15 jam tanpa henti di Rooftop @7, MyTOWN KL, pada 14 Februari ini.

Pengarah Projek Atas Angin Festival 2026, Arif Imran, atau lebih dikenali sebagai Bam berkata, edisi kali ini direka untuk memberi impak luar biasa berbanding tahun-tahun sebelum ini, selaras dengan aspirasi penganjur untuk menjadi pemacu festival indie terbesar di Asia Tenggara.

Pengarah Projek Atas Angin Festival 2026, Arif Imran (tengah).

“Festival ini bukan sahaja mampu mengubah landskap pertunjukan festival di Malaysia, malah berpotensi memberi impak di peringkat antarabangsa.

“Perjalanan enam tahun Atas Angin MY membuktikan kematangan kami dalam merancang acara berskala besar, dan festival kali ini adalah bukti kepada perkembangan tersebut,” katanya kepada media pada majlis pelancaran festival itu di Sunken Garden, MyTOWN KL, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata festival itu akan menampilkan dua pentas utama yang beroperasi secara serentak bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah malam bagi memastikan kelangsungan tenaga dan persembahan sepanjang hari.

Antara barisan artis yang dijadualkan membuat persembahan termasuk kumpulan berpengaruh seperti Hujan, Masdo, Bittersweet, Gerhana Ska Cinta, Monoloque, 6ixth Sense, Fynn Jamal, dan Salammusik.

Acara itu yang menyasarkan kehadiran 4,000 penonton turut mendapat sokongan daripada NUHEA selaku penaja utama, selain kerjasama strategik bersama MyTOWN KL serta rangkaian media utama seperti Astro Gempak dan stesen radio Era, Sinar, dan THR Gegar.

Tiket bagi festival berkenaan kini boleh didapati secara dalam talian menerusi laman web rasmi www.atasangin.com pada harga RM150 untuk kategori Solo dan RM280 bagi kategori Duo.

Komen
Loading...