4U2C Gegar Idea Live Arena, Bawa Peminat Kembali ke Era 90-an
- oleh Mohd Indera
- 16 Sep 2025 3:12 am

Foto Oleh: Razin Zain.
Kumpulan rap 4U2C kembali menggegarkan pentas dengan konsert WE 4U2C Live in Concert di Idea Live Arena, Petaling Jaya malam semalam, sekali gus membawa peminat kembali mengimbau kenangan era 90-an.
Konsert yang berlangsung hampir tiga jam itu menampilkan anggota asal kumpulan berkenaan iaitu Datuk AC Mizal, Aren, Yanz, Rinz, Lanz, Charlie dan Azam dengan iringan barisan pemuzik profesional di bawah pimpinan pengarah muzik tersohor, Aubrey Suwito.
Antara lagu popular yang dipersembahkan termasuk Sini Go Sana No, Hip Hop Tip Top, Kenangan Cinta, Darling I Love You, Fiona, Suara Asia, 2BD#1, Boo, Video Game, FFM, Dusta serta balada I Miss You dan Kembalilah Fiona.
Konsert turut diserikan dengan penampilan artis jemputan iaitu RES2, M’Steen dan AtoZ. M’Steen menyampaikan Kembalilah Kasih, RES2 mempersembahkan Kepastian manakala AtoZ menghiburkan penonton dengan Itik Gembo Gembo dan Darjat.
Antara momen istimewa berlaku apabila penonton meminta 4U2C menyampaikan lagu raya klasik Bergema Takbir di Pagi Raya. Tanpa muzik latar, kumpulan itu memenuhi permintaan dengan menyanyikannya secara acapella, sekali gus membuatkan dewan bergema dengan nyanyian bersama penonton.
AC Mizal dalam sidang media selepas konsert meluahkan rasa syukur dengan kejayaan penganjuran tersebut.
“Sepanjang konsert tadi, kami rasa bertenaga luar biasa. Malah, tiga bulan setengah berlatih setiap malam selama tiga jam akhirnya berbaloi kerana malam ini semua terbayar. Terus terang, langsung tidak terasa penat,” kata AC Mizal.
Menurut AC, konsert itu berbeza kerana 4U2C sendiri menyanyi dan menari sekaligus memberi impak yang lain.
“Kebiasaannya artis hanya menyanyi sambil diiringi penari, tetapi 4U2C tampil berbeza. Kami menyanyi, menari dan menghasilkan persembahan sendiri. Sebab itu impaknya lain dan kami puas hati,” jelasnya.
AC turut mendedahkan kumpulan itu menerima tawaran untuk membawa konsert berkenaan ke Singapura awal tahun depan, walaupun ia pada asalnya dirancang sebagai persembahan terakhir mereka.
“Petang sebelum konsert, saya menerima pengesahan ada pihak di Singapura yang mahu membawa persembahan ini ke sana. Walaupun pada awalnya kami umumkan ini konsert terakhir, nampaknya kami perlu berbincang semula. Jika ada rezeki, mungkin awal tahun depan.
“Namun, kalau ini benar-benar penutupnya, kami tetap gembira dengan pencapaian malam ini,” katanya.
Konsert yang menutup tirai dengan lagu ikonik Kami Rappers sebagai encore itu membuktikan bahawa karya 4U2C masih segar di hati peminat dan mampu merentasi generasi.
Konsert ini mencatat kehadiran lebih 3,000 penonton, termasuk rakan-rakan artis yang hadir memberi sokongan antaranya Datuk Norman KRU, Adlin Aman Ramli, Kumpulan ELITE, Acong Sweetchild, Cat Farish, Shikin Maembong, Zul Huzaimy dan ramai lagi.