4,000 Penonton Dibuai Gabungan ‘3 Suara’ Rizky Febian, Fabio Asher & Anggi Marito
- oleh MDaily Editor
- 15 Dec 2025 10:25 am
Konsert eksklusif ‘Malam 3 Suara’ yang menghimpunkan tiga bintang sensasi Indonesia Rizky Febian, Fabio Asher, dan Anggi Marito berjaya mencipta malam penuh magis dan emosi apabila dihadiri seramai 4,000 penonton yang membanjiri Idea LIVE Arena, Kuala Lumpur, malam tadi.
Konsert yang dianjurkan oleh Strategy X Entertainment Sdn. Bhd. ini adalah lebih dari sekadar persembahan lagu tapi ia benar-benar berjaya menyentuh hati dan perasaan ribuan penonton yang hadir pada malam itu.
Gabungan kelembutan vokal Anggi Marito, emosi mendalam yang disampaikan oleh Fabio Asher, serta pesona dan tenaga Rizky Febian, semuanya bersatu dalam harmoni yang menyentuh perasaan.
Selama lebih dua jam persembahan yang disusun rapi, trio dari Indonesia ini membawa penonton menyelami perjalanan emosi menerusi rangkaian lebih 20 buah lagu balada, cinta, dan harapan, yang disampaikan dengan penuh penghayatan.

Wakil penganjur menyatakan bahawa kejayaan konsert itu membuktikan bahawa muzik yang jujur dan berjiwa mempunyai kuasa untuk merentasi sempadan dan menghubungkan emosi antara artis dengan penonton.
“Sambutan luar biasa daripada 4,000 penonton malam ini amat bermakna buat kami. ‘Malam 3 Suara’ berjaya mencapai matlamatnya sebagai sebuah konsert yang bukan sahaja menghiburkan, malah membelai jiwa dan meninggalkan kenangan indah,” ujar wakil penganjur.
Persembahan dibuka dengan mashup energetik lagu ‘Hingga Tua Bersama’, ‘Cara Mencintaimu’, dan ‘Bertahan Terluka’ yang dibawakan secara trio, sebelum setiap artis membawakan hit solo masing-masing seperti ‘Seperti Kisah’ (Rizky), ‘Aku Berjanji’ dan ‘Tanpa Rasa Bersalah’ (Fabio), serta ‘Kisah Penuh Kecewa’ dan ‘Aku Bukan Untukmu’ (Anggi).
Konsert ini turut disemarakkan dengan kolaborasi istimewa dalam lagu ceria ‘ALaMaK’ antara Fabio dan Rizky, di samping duet menyentuh perasaan seperti ‘Indah Pada Waktunya’ (Rizky-Anggi) dan ‘Cinta Tak Pernah Tepat Waktu’ (Anggi-Fabio).

Menjelang penghujung, persembahan lagu-lagu utama lain seperti ‘Tak Segampang Itu’ (Anggi), ‘Terlukis Indah’ (Rizky), dan ‘Rumah Singgah’ (Fabio) turut menggegarkan arena, sebelum ditutup sempurna dengan lagu penutup bersama, ‘Penantian Berharga’.
Sorakan dan nyanyian bersama penonton membuktikan kehangatan sambutan terhadap konsert eksklusif ini.
Setiap artis turut menyampaikan segmen solo tersendiri sebelum berkolaborasi dalam persembahan duet khas yang hanya dipersembahkan pada malam tersebut.
Kejayaan ‘Malam 3 Suara’ juga menandakan satu pencapaian penting dalam penganjuran acara muzik rentas negara, sekali gus membuka ruang yang lebih luas untuk kolaborasi serantau pada masa hadapan.




