Ikuti Kami:

40 PKS Lepar Diasah di Bengkel “Aokmer Usahawan”

40 PKS Lepar Diasah di Bengkel “Aokmer Usahawan”

Satu inisiatif latihan keusahawanan intensif dikenali ‘Aokmer Usahawan’ dihadiri kira-kira 40 pemilik perniagaan kecil dari kawasan Lepar, Pahang.

Kira-kira 40 pemilik perniagaan kecil dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lepar berpeluang meningkatkan ilmu keusahawanan mereka selepas menyertai inisiatif latihan intensif yang dikenali sebagai ‘Aokmer Usahawan’ selama tiga hari, baru-baru ini.

Program anjuran bersama Penyelaras DUN Lepar dan Yayasan Pahang itu diadakan dengan matlamat utama untuk memberi penekanan khusus terhadap penjenamaan, pemasaran digital, dan strategi penembusan pasaran.

Penyelaras DUN Lepar, Mustaqim Zakaria, berkata program ini penting bagi memperkasakan perniagaan tempatan.

Penyelaras DUN Lepar, Mustaqim Zakaria.

“Kami berharap latihan dan pendedahan yang diberikan ini akan memperkasakan perniagaan mereka untuk menjadi sebuah jenama yang kukuh bertapak di hati dan minda penduduk Pahang,” katanya.

Bengkel tersebut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Digital Methods, Zulkifli Ahmad, sebagai jurulatih utama, serta penceramah jemputan dari Tekun Nasional.

Turut serta ialah pengasas bersama Pasar Sera, Nadia Rustham, yang berkongsi ilmu mengenai konsep pasaran kreatif, jangkaan komersial, dan bagaimana proses tersebut dapat membantu kedudukan jenama dalam pasaran Pahang.

Melalui program ‘Aokmer Usahawan’, seramai 10 vendor terpilih dari DUN Lepar akan diberi peluang mempamerkan jenama serta produk mereka dalam acara Pasar Sera di Taman Tasik Paya Besar.

Hasil daripada program itu, seramai 10 vendor terpilih daripada Lepar diberikan peluang berharga untuk mempamerkan jenama dan produk mereka di acara Pasar Sera, yang dijangka mampu meningkatkan pendedahan pasaran mereka.

Sementara itu, Pemangku Pengurus Komunikasi Korporat Yayasan Pahang, Nur Fadhlin Jazilah Johan, menyatakan rasa terharu dengan semangat yang ditunjukkan oleh para peserta.

“Ada peserta yang sanggup menutup perniagaan mereka selama tiga hari semata-mata untuk menghadiri Aokmer Usahawan. Ini adalah demi menimba ilmu dan merebut peluang untuk ditempatkan sebagai vendor Pasar Sera,” ujarnya.

Program seumpama ini dilihat sebagai pemangkin penting dalam usaha membangunkan ekonomi setempat melalui peningkatan kemahiran dan daya saing PKS.

Komen
Loading...