Seramai 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah dijadualkan menghadap Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.
Beberapa ADUN daripada Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Bebas mengesahkan perkara itu ketika dihubungi, semalam.
Jemputan menghadap itu dipercayai susulan perkembangan politik Kedah.
Dipercayai Sultan Kedah akan menerima menghadap semua adun-adun ini dalam beberapa sesi berasingan.
Selasa lalu, ADUN Lunas, Azman Nasrudin serta Dr Robert mengumumkan keluar PKR dan menyatakan sokongan kepada kerajaan PN bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pada hari sama, Ketua Pembangkang DUN Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, mengumumkan 19 daripada 36 ADUN Kedah hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Muhammad Sanusi mendakwa empat ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) juga telah hilang kepercayaan kepada Mukhriz yang merupakan Timbalan Presiden parti itu.