
Jenama fesyen terkenal RR by Rizman Ruzaini terus mencipta kejayaan apabila koleksi ikonik mereka, RR by Rizman Ruzaini Basic Kurung, mencatat jualan lebih 300,000 helai sejak lima tahun diperkenalkan.
Sebagai koleksi signatur, baju kurung ini bukan sahaja menjadi pilihan utama ketika Syawal, tetapi juga digayakan sebagai pakaian kerja dan majlis harian oleh peminat setia jenama ini, yang dikenali sebagai RR Royalties.
Dihasilkan daripada fabrik poliester berkualiti tinggi, koleksi ini menampilkan rekaan klasik dengan potongan kemas yang sesuai untuk pelbagai bentuk tubuh.
Lengan puff pada bahu memberi sentuhan anggun dan feminin, sementara potongan skirt duyung dengan godet belakang memastikan pemakai bergerak dengan lebih selesa dan bergaya.
Bersempena ulang tahun ke-20 Rizman Ruzaini, koleksi RR by Rizman Ruzaini Basic Kurung diperkenalkan semula dengan tiga potongan baharu, iaitu Kurung Pahang, Kurung Pahang Pleated, dan Kurung Kedah Pleated.
Menawarkan 34 pilihan warna polos, koleksi ini direka untuk memudahkan pemakai menyuaipadankan pakaian sedondon bersama pasangan dan keluarga.
Lebih istimewa, setiap pembelian disertakan dengan selendang sifon bercetak dan kerongsang bertahta permata secara percuma untuk melengkapkan gaya klasik dan elegan.
Bukan hanya memfokuskan kepada pakaian wanita, koleksi Raya RR by Rizman Ruzaini turut menawarkan pilihan pakaian lelaki seperti Baju Melayu Cekak Musang, Baju Melayu Teluk Belanga, dan Kurta.
Diperbuat daripada material berkualiti tinggi yang mudah digosok dan selesa dipakai sepanjang hari, koleksi ini memastikan para lelaki dapat tampil segak dengan gaya tradisional dan moden.
Selain itu, koleksi kanak-kanak juga diperkenalkan dengan rekaan dan warna yang sama seperti koleksi dewasa, membolehkan seluruh keluarga tampil sedondon di pagi Syawal.
Ini bukan sahaja menjimatkan masa dalam mencari pakaian yang sepadan tetapi juga memberikan pengalaman beraya yang lebih bermakna.
Sejak diasaskan pada tahun 2005 oleh duo pereka Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil, jenama Rizman Ruzaini terus berkembang dalam industri fesyen Malaysia.
Dengan label RR by Rizman Ruzaini yang diperkenalkan pada tahun 2020, peminat kini boleh menikmati rekaan eksklusif dengan harga lebih mesra bajet.
Kini, jenama ini semakin mengukuhkan kedudukannya di peringkat antarabangsa dengan menembusi pasaran Timur Tengah dan Eropah, sekaligus meletakkan Malaysia di peta fesyen dunia.
Dengan kejayaan besar koleksi Basic Kurung ini, RR by Rizman Ruzaini terus membuktikan bahawa mereka adalah peneraju dalam dunia fesyen tempatan dan global.