Ikuti Kami:

3 Rakyat Malaysia Antara Positif COVID-19 Di Singapura

3 Rakyat Malaysia Antara Positif COVID-19 Di Singapura

SINGAPURA, 20 April — Tiga rakyat Malaysia antara 596 kes baharu jangkitan COVID-19 yang dilaporkan di Singapura dengan seorang dikaitkan dari asrama Kranji Lodge, satu daripada lebih 20 asrama kluster pekerja asing di sini.

Susulan satu kes itu yang dikaitkan dari sebuah asrama, menjadikan jumlah rakyat Malaysia dikaitkan dengan kluster asrama kepada tujuh orang manakala 95 rakyat Malaysia dilaporkan dijangkiti virus itu di sini dengan kes pertama diumumkan pada 17 Feb.

Menurut data harian yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) republik ini pada lewat Ahad, lelaki berusia 55 tahun dan dua lagi itu adalah pemegang permit bekerja.

Dua lagi rakyat Malaysia itu masih diklasifikasi sebagai kes tidak dikaitkan.

Selain daripada kluster asrama, lebih 20 rakyat Malaysia di sini dikaitkan dengan kluster lain iaitu ABC Hostel, Mustafa Centre, McDonald Singapura, SAFRA Jurong, SingPost, Project Glory, dan TTJ Design & Engineering Pte Ltd.

Setakat 12 tengah hari Ahad, jumlah kes COVID-19 di Singapura mencatatkan 6,588 dengan 4,706 kes diklasifikasi sebagai penghuni asrama, 305 melibatkan pemegang permit bekerja yang tidak mendiami asrama, 1,008 kes komuniti, dan 569 ialah kes diimport.

Dengan jumlah terbaharu itu, Singapura yang mencatatkan kes pertama COVID-19 pada 23 Jan telah mencatatkan jumlah kes tertinggi dalam kalangan negara anggota ASEAN, sedikit di atas Indonesia.

Sehingga kini, 768 pesakit di sini telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu dan telah dibenarkan pulang dari hospital atau fasiliti pengasingan komuniti, 22 dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi manakala 11 meninggal dunia.

Pada Ahad sahaja, pulau-bandar ini mengenalpasti lima kluster baharu iaitu Woodlands Lodge I; Changi Lodge II; 51, Paya Ubi Industrial Park; 17, Jalan Besut; dan Sembawang Shipyard.

Setakad ini, Singapura mewartakan 12 asrama yang dijangkiti sebagai kawasan pengasingan dengan kebanyakan asrama yang dijangkiti itu dihuni oleh warga Bangladesh, India, China dan Myanmar.

— BERNAMA

Komen
Loading...