3 Gitaris Rock Legenda di Satu Pentas: ROXtheNATION Gegarkan Malaysia dan Indonesia
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu
Dunia muzik rock bakal menyaksikan satu peristiwa bersejarah pada 25 Januari 2025 apabila tiga band dengan tiga gitaris legenda dari dua Negara, Man Keedal (WARIS), Jo Branko (BARBARIK), dan Eet Sjahranie (EDANE), bergabung di pentas yang sama dalam konsert ROXtheNATION.
Projek usahasama di antara Menara Kuala Lumpur, FAR Worldwide sebagai penganjur konsert dengan SU.RE Sihat KL (Persatuan Sukan, Rekreasi & Kesihatan Kuala Lumpur) ini akan menjadi titik temu antara dua negara serumpun, Malaysia dan Indonesia, dalam sebuah acara spektakular yang dinanti-nantikan peminat.
Pemilihan 3 band hebat seperti WARIS (Man Keedal), BARBARIK (Jo Branko) dan EDANE (Eet Sjahranie) dari Indonesia yang bertahan lebih empat dekad dalam industri membuktikan kolaborasi ini memiliki sentuhan magikal.
Waris menampilkan gabungan unik bakat muda dan pengalaman. Diketuai oleh Man Keedal sebagai gitar utama, Adam pemain dram berusia 14 tahun, yang juga cucu kepada Man Keedal, Yunos (bass), Daniel (gitar) dan Fuad Rahman sebagai vokalis utama dengan suara dan karisma yang memikat.
Barbarik diketuai oleh gitaris utama Jo Branko, bersama penyanyi rock terkenal Muss, Ainol di posisi dram, dan Rozaimi sebagai pemain bass.
Edane pula membawa tenaga luar biasa dengan Eet Sjahranie gitaris utama, Ervin Nanzabakri (vokalis), Fajar Satritama (dram), Arie Ria (bass), dan Hendra Zamzami (gitar), menjanjikan persembahan yang penuh bertenaga.
Ellie G, Pengerusi Projek, menyifatkan konsert ini sebagai sebuah impian yang akhirnya menjadi kenyataan. “ROXtheNATION adalah terjemahan sebenar muzik rock dengan tenaga luar biasa yang bakal menggema hingga ke Indonesia.
“Melalui muzik, kami ingin memperkukuh persahabatan antara Malaysia dan Indonesia, sekaligus menjadikan ROXtheNATION platform bagi menyemarakkan hubungan dua negara,” ujar Ellie G.
Beliau turut optimis bahawa ROXtheNATION bakal menjadi acara tahunan, menyumbang kepada industri pelancongan dan muzik tempatan, serta memberi penghormatan kepada para pemuzik legenda.
Sebahagian hasil jualan tiket, sebanyak 5 peratus, akan disumbangkan kepada SU.RE Sihat KL, sebuah persatuan yang mempromosikan gaya hidup sihat di ibu kota. Penajaan oleh jenama kecantikan Farmasi turut memperluaskan usaha amal ini melalui hasil jualan produk mereka.
Sebagai tarikan tambahan, sebuah motosikal Harley Davidson akan diberikan kepada audiens bertuah, selain penyertaan ketiga-tiga legenda ini dalam acara tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dirancang.
Tiket dijual bermula RM188 hingga RM388, manakala akses tontonan langsung secara streaming hanya RM30.
Pra-jualan bermula hari ini di www.ilassotickets.com, sementara penjualan biasa bermula 15 Disember 2024.