28 Prasekolah Terima Smartboard: Farm Fresh komited Modenkan PDP, Sedia Peruntukan RM210,000
- oleh MDaily Editor
- 13 Feb 2026 3:48 pm
Menteri Pendidikan, Puan Fadhlina Sidek hadir pada Majlis Serahan Smartboard Prasekolah dan Sumbangan Susu Percuma Farm Fresh.
Sebanyak 28 buah prasekolah di bawah seliaan Kementerian Pendidikan (KPM) di 10 buah negeri terpilih bakal menerima kemudahan papan pintar (smartboard) menerusi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh Farm Fresh Berhad.
Sumbangan yang memasuki tahun kedua pelaksanaannya itu melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM210,000 bagi memperkasakan kualiti Pengajaran dan Pembelajaran (PDP) di peringkat akar umbi.
Menteri Pendidikan, Puan Fadhlina Sidek, berkata inisiatif tersebut merupakan langkah proaktif dalam menyokong agenda pendigitalan pendidikan negara, sekali gus menjadikan suasana pembelajaran murid prasekolah lebih menarik dan interaktif.
”Usaha ini sangat signifikan bagi memastikan murid-murid prasekolah lebih bersedia dan bermotivasi sebelum melangkah ke Tahun Satu. Kerjasama erat sektor awam dan swasta seperti ini amat diperlukan untuk meningkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak,” katanya.

Farm Fresh buat julung kalinya melaksanakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang memberi tumpuan khusus kepada murid-murid prasekolah.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Serahan Smartboard Prasekolah dan Flag Off Susu UHT Farm Fresh Grow Percuma bagi Murid Prasekolah Seluruh Pulau Pinang di Sekolah Kebangsaan Bandar Tasek Mutiara, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Encik Azmi bin Zainal.
Daripada jumlah 28 unit tersebut, 10 unit diperuntukkan khusus untuk prasekolah di Pulau Pinang, manakala baki dua unit lagi akan diagihkan kepada sekolah-sekolah terpilih di sembilan negeri lain yang terlibat di bawah kontrak Program Susu Sekolah (PSS).
Sementara itu, Azmi berkata, pemilihan sekolah penerima dibuat sendiri oleh pihak KPM dan syarikat turut menyediakan latihan teknikal kepada guru-guru terlibat bagi memastikan peralatan tersebut dimanfaatkan secara optimum.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Encik Azmi bin Zainal.
”Kami percaya pemerkasaan pendidikan perlu bermula dari awal. Selain sokongan teknologi, kami juga menyalurkan 150,000 pek susu UHT Farm Fresh GROW bernilai RM250,000 secara percuma kepada semua murid prasekolah di Pulau Pinang melalui inisiatif ‘Nutrisi Untukmu’.
”Ini adalah usaha rintis kami untuk menangani isu malnutrisi dan memastikan kanak-kanak mendapat nutrisi seimbang seperti DHA dan kalsium untuk perkembangan otak serta fizikal mereka,” jelasnya.
Farm Fresh Berhad merupakan pembekal susu sekolah bagi sesi 2025-2029 yang merangkumi 10 buah negeri di Semenanjung Malaysia.
Selain sumbangan smartboard, syarikat turut merangka program CSR lain termasuk Kelas Tuisyen Bijak Mengira dan Program “School to Farm” bagi memberi pendedahan luar bilik darjah kepada murid.




