Ikuti Kami:

250 Pakar Pediatrik Tidak Setuju Anak ‘Frontliners’ Diasingkan Di Taska

250 Pakar Pediatrik Tidak Setuju Anak ‘Frontliners’ Diasingkan Di Taska

Sekumpulan ahli pediatrik dilaporkan tidak bersetuju dengan pengenalan SOP terbaru berhubung pengurusan anak-anak petugas barisan hadapan atau frontliners  di taman asuhan kanak-kanak (TASKA), lapor portal CodeBlue.

Luahan rasa tidak setuju itu hadir susulan saranan  SOP tersebut yang menjelaskan anak-anak kepada petugas ini perlu diasingkan di pusat asuhan kerana berisiko tinggi untuk menjangkiti wabak dari penjaga dan ibu-bapa mereka yang bertugas sebagai frontliners.

“Anak-anak frontliners adalah berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan daripada ibu bapa mereka. Tempat yang paling selamat untuk anak-anak ini adalah penjagaan di rumah.

“Walau bagaimanapun,sekiranya anak-anak petugas frontliners dihantar ke Taska, mereka perlu diasingkan daripada anak-anak yang lain,” tulis panduan tersebut.

Saranan tersebut dinyatakan dengan jelas di Lampiran 12 yang terdapat dalam Panduan Pencegahan Penularan Covid-19 Pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bagi Keselamatan Warga Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) yang bertarikh berkuatkuasa pada 4 Mei 2020 dan dikemaskini 22 Mei 2020.

Menurut kenyataan ditandatangani 250 pakar pediatrik yang terbit di portal CodeBlue, mereka mengesahkan dengan sumber kementerian bahawa panduan yang disebarkan itu adalah versi rasmi yang telah dikemaskini.

Kenyataan itu menurut CodeBlue turut disokong Malaysian Paediatric Association.

“Pada dasarnya, kenyataan ini adalah tamparan hebat buat semua frontliners di negara ini.

“Ia seperti mengatakan ‘ya kami mahu kerja keras, pengorbanan dan merisikokan kesihatan anda dan keluarga, tetapi kami tidak akan berada di sana untuk melindungi anak-anak anda’,” luah kenyataan itu.

Tambahan lagi, mereka menjelaskan ianya tidak ubah seperti anak-anak ini dianggap telah tercemar dan perlu diasingkan serta tidak dialu-alukan ke pusat jagaan.

Kumpulan tersebut pada masa sama turut mempersoalkan tentang imej dan pesanan yang akan diterima daripada masyarakat terhadap frontliner dengan saranan tersebut.

Justeru mereka di akhir kenyataan tersebut menggesa agar perdana menteri membetulkan keputusan yang dibuat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Senada dengan kumpulan tersebut dalam isu ini adalah Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang turut ‘terkejut’ dengan saranan kerajaan itu.

Dalam laporan Free Malaysia Today pada semalam, presiden persatuan Dr N Ganabaskaran menjelaskan ramai petugas barisan hadapan tersinggung dengan saranan tersebut.

“MMA bimbang dan terkejut dasar seperti itu diluluskan kementerian dan diedarkan Jabatan Kebajikan.

“Petugas barisan depan dan anak mereka tidak patut dikenakan dasar dan amalan diskriminasi seperti itu. Ini tidak boleh diterima.”

Foto : MMA, Bernama

 

Komen
Loading...