Ikuti Kami:

24 Pasukan Bertarung Rebut USD200,000 dalam PUBG MOBILE Super League SEA Summer 2025

24 Pasukan Bertarung Rebut USD200,000 dalam PUBG MOBILE Super League SEA Summer 2025

Kejohanan PUBG MOBILE Super League Asia Tenggara (PMSL SEA) Summer 2025 kembali memeriahkan musim panas dengan aksi penuh mendebarkan, apabila 24 pasukan terbaik rantau ini bersaing merebut sebahagian daripada hadiah wang tunai berjumlah USD200,000.

Bermula dari 4 hingga 22 Jun ini, kejohanan ini menyaksikan pertempuran taktikal dan kemahiran tinggi berlangsung dalam format liga selama dua minggu di Jakarta, Indonesia.

Hanya 16 pasukan terbaik akan melangkah ke peringkat Grand Finals yang akan diadakan secara langsung selama tiga hari dari 20 hingga 22 Jun di lokasi ikonik, BASKETHALL GBK, Senayan, Jakarta Pusat.

Musim ini menyaksikan penyertaan semula TECNO sebagai Rakan Rasmi Telefon Pintar manakala CelcomDigi pula diumumkan sebagai Rakan Rangkaian Rasmi. Kejohanan kali ini turut memperkenalkan peraturan baharu “Smash Rule” yang dijangka menjadikan setiap hujung minggu pertarungan lebih sengit.

Sebagai satu-satunya kejohanan kelayakan rasmi ke Esports World Cup, PMSL SEA Summer 2025 menyuntik motivasi lebih tinggi kepada pasukan bertanding.

Pengurus Negara Tencent Games (Malaysia), Eugene Chin, menyatakan rasa bangganya terhadap pencapaian pasukan Malaysia.

“Kami sangat berbangga dengan pasukan Malaysia yang telah mencapai tahap ini,”

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada penaja-penaja yang murah hati kerana menjayakan pertandingan ini, dan saya ucapkan semoga berjaya kepada semua pasukan Malaysia.” katanya.

Sepanjang Super Weekend, pasukan perlu mencapai ambang Match Point dan memperoleh kemenangan “Winner Winner Chicken Dinner” untuk dinobatkan sebagai juara mingguan.

Enam pasukan dari Malaysia telah layak ke PMSL SEA Summer 2025 dan kini bersedia mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa. Mereka ialah CelcomDigi Alliance (CDAL), SEM9, HomeBois (HB), Maqna Esports Club (MEC), New Era (NWE), dan Todak (TDK).

CDAL dan SEM9 mengekalkan barisan pemain sedia ada, manakala HomeBois hadir dengan skuad baharu tetapi mengekalkan Syamil. Todak pula memperkukuhkan pasukan dengan kembalinya TAMM dan pemain bintang Indonesia, FRENTZY. MEC akan diketuai pemain berpengalaman, VOKEY, manakala NWE turut memberi cabaran dalam merebut kejuaraan.

Menambah keterujaan, bintang muda dari Sarawak, Rayyan atau dikenali sebagai RIOO, yang baru berusia 16 tahun dan dinobatkan sebagai MVP PMNC MY, bakal membuat penampilan sulung bersama gergasi Indonesia, Bigetron by Vitality (BTR). Beliau dilihat berpotensi menjadi legenda seperti UHIGH dan ADIKLUQ.

PMSL SEA Summer 2025 dianjurkan secara rasmi oleh PUBG MOBILE. Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini boleh mengikuti platform media sosial rasmi PUBG MOBILE Malaysia.

Komen
Loading...