20,000 Pengunjung Dijangka Meriahkan Karnival Ban Canal 2025
- oleh MDaily Editor
- 8 Nov 2025 5:15 pm
Karnival Ban Canal 2025 kembali semula dengan lebih meriah, menyasarkan kehadiran lebih 20,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya dari 7 hingga 9 November 2025, di sepanjang Terusan Ban Canal yang menjadi simbol warisan sejarah dan pertanian daerah ini.
Acara anjuran Sabak Bernam Development Area (SABDA) dengan kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) – MBI serta rakan strategik ini bertujuan memperkukuh pelancongan berasaskan alam semula jadi dan budaya tempatan, di samping memperkasa ekonomi komuniti setempat.
Bertemakan “Alam. Budaya. Lestari.”, karnival kali ini meneruskan matlamat memperkenalkan keunikan Sabak Bernam sebagai destinasi ekopelancongan dan agropelancongan utama negeri Selangor.
Penganjuran edisi 2025 ini turut mencatat pencapaian membanggakan apabila Karnival Ban Canal diiktiraf sebagai ‘Best Tourism Event’ dalam Majlis Anugerah Industri Pelancongan 2025 (Tourism Industry Award 2025) anjuran Malaysia International Tourism Development Association (MITDA) — pengiktirafan yang menegaskan komitmen terhadap pelancongan mampan dan pembangunan komuniti.

Terusan Ban Canal sepanjang 30 kilometer, yang dibina sejak zaman penjajahan British sebagai sistem pengairan sawah padi, kini diangkat sebagai lokasi utama pelancongan berteraskan sejarah, ekologi dan pertanian.
Antara pengisian menarik sepanjang karnival termasuk persembahan kebudayaan, pertandingan sukan air, Larian Santai @Bendang, festival makanan, jualan produk tempatan, pameran agro dan eko-tani serta kempen kesedaran hijau.
Penganjuran ini melibatkan kerjasama erat antara kerajaan negeri, agensi tempatan, sektor swasta, institusi pendidikan dan komuniti setempat bagi memastikan keberkesanan tadbir urus serta penglibatan masyarakat secara inklusif.

Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, berkata Karnival Ban Canal merupakan langkah strategik memperkenalkan warisan pertanian dan keindahan ekologi Sabak Bernam kepada dunia, seiring dengan komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan hijau dan lestari.
“Melalui inisiatif ini, kita bukan sahaja merangsang pertumbuhan ekonomi desa secara mampan, tetapi juga memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar dan warisan budaya tempatan,” katanya.
Exco Pembangunan Desa, Perpaduan dan Pengguna merangkap Pengerusi Majlis Perundingan Sabak Bernam, Datuk Haji Rizam Haji Ismail, berkata karnival ini mencerminkan semangat dan jati diri masyarakat setempat yang ingin melihat Sabak Bernam maju tanpa meninggalkan warisan lamanya.
“Karnival Ban Canal bukan sekadar acara tahunan, tetapi wadah kebersamaan komuniti dalam mengekalkan tradisi dan menggerakkan ekonomi setempat. Dengan sasaran 20,000 pengunjung, kita yakin ia mampu memberi limpahan manfaat ekonomi kepada penduduk serta membuka peluang keusahawanan kepada generasi muda,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI, Dato’ Ts. Saipolyazan M. Yusop, pula menegaskan bahawa Karnival Ban Canal adalah cerminan kepada strategi pembangunan negeri yang menyeimbangkan kemajuan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar.
“Melalui SABDA, MBI komited menjadikan Sabak Bernam sebagai destinasi pelancongan ekologi terkemuka di Malaysia yang berpotensi menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar,” ujarnya.
Empat fokus utama Karnival Ban Canal 2025 ialah kelestarian ekonomi dan alam sekitar, pemeliharaan warisan budaya, pemuliharaan biodiversiti dan pemberdayaan komuniti.
Program ini dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pelancongan hijau di Selangor, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sabak Bernam sebagai destinasi pelancongan lestari yang disegani.




