Ikuti Kami:

2 penerjun wanita Terengganu akan teruskan latihan di Sekolah Sukan Negara — Hannah Yeoh

2 penerjun wanita Terengganu akan teruskan latihan di Sekolah Sukan Negara — Hannah Yeoh

Kuala Lumpur — Dua penerjun wanita Terengganu yang memenangi pingat di SUKMA Sarawak baru-baru ini akan meneruskan latihan harian mereka di Sekolah Sukan Malaysia seliaan Kerajaan Persekutuan, kata Menteri Belia Dan Sukan Hannah Yeoh.

Pengarah teknikal kebangsaan sukan terjun Bryan Nickson telah mengenalpasti penerjun ini untuk dipertimbangkan memasuki program pelapis kebangsaan pada tahun hadapan sekiranya terus menunjukkan peningkatan prestasi di beberapa kejohanan akan datang, beliau berkata demikian dalam satu kenyataan Facebook.

“KBSMalaysia berharap Kerajaan Negeri Terenganu tidak mendiskriminasikan pemberian insentif kemenangan kepada kedua-dua penerjun ini memandangkan mereka juga telah menyumbang pingat kepada Kontinjen Negeri Terengganu.

“Untuk makluman semua, setiap peserta yang mewakili negeri di SUKMA perlu melalui proses pendaftaran yang dipersetujui oleh Majlis Sukan Negeri tertentu.”

Pihak Kementerian bimbang dengan arahan Kerajaan Negeri untuk tidak membenarkan penglibatan atlet wanita dalam bidang tertentu dikhuatiri akan merencatkan potensi ramai atlet muda yang terbukti mempunyai bakat, serta memberikan impak negatif kepada pembangunan sukan negara secara keseluruhannya, tambah beliau.

Pada Sukma Sarawak, dua atlet wanita acara terjun – Uzlifatil Jannah Ashraf dan Ilyssa Ixora Imran dihantar ‘tanpa pengetahuan’ oleh Persatuan Renang Amatur Terengganu (PRAT).

Terengganu sebelum ini melarang penyertaan wanita Muslim dalam acara itu kerana melanggar kod etika berpakaian.

Uzlifatil dan Ilyssa berjaya meraih pingat gangsa bagi kategori 10m platform seirama wanita, selain Uzlifatil juga menang gangsa bagi kategori 1m papan anjal.

Kelmarin, PRAT memohon maaf atas kesilapan menghantar penerjun wanita Muslim tersebut sehingga menimbulkan rasa tidak senang masyarakat.

Komen
Loading...