Ikuti Kami:

19 Tahun Rico Rinaldi: Summeraya 2026 Bukti Kelangsungan Jenama Tempatan

19 Tahun Rico Rinaldi: Summeraya 2026 Bukti Kelangsungan Jenama Tempatan

Bertahan selama hampir dua dekad dalam industri fesyen yang dinamik dan kompetitif merupakan satu pencapaian yang jarang berlaku, namun pereka tersohor, Rico Rinaldi, membuktikan keampuhan jenamanya apabila genap 19 tahun mewarnai landskap kreatif negara menerusi pelancaran koleksi SUMMERAYA 2026 di Menara Ken, TTDI, kelmarin.

Sejak mula diperkenalkan pada tahun 2011, Summeraya telah berkembang menjadi koleksi tanda aras yang bukan sekadar busana musim perayaan, tetapi sebuah identiti reka bentuk yang mencerminkan keseimbangan antara tradisi dan kemodenan.

Dikenali dengan unsur flora dan siluet feminin, koleksi ini terus berevolusi mengikut perubahan gaya hidup tanpa meninggalkan akar estetiknya.

Untuk edisi 2026, Rico Rinaldi tampil dengan pendekatan lebih segar dan berani menerusi pilihan warna cerah, selari dengan pemerhatiannya terhadap perubahan cita rasa pasaran, khususnya generasi muda dan Gen-Z yang kini semakin dekat dengan jenama tersebut.

“Ramai yang beranggapan rekaan pereka itu mahal dan sukar digayakan. Bagi saya, rekaan Rico Rinaldi perlu mampu milik dan mudah dipakai, namun tetap mengekalkan kualiti serta DNA eksklusif seorang pereka,” jelas beliau mengenai falsafah koleksinya.

Sebanyak 70 rekaan diperagakan merangkumi koleksi wanita dan lelaki, menjadikannya antara persembahan terbesar dalam sejarah Summeraya. Koleksi kali ini turut memberi fokus kepada potongan kemas dan rekaan berselendang yang lebih praktikal serta versatil untuk gaya Raya masa kini.

Dari aspek kebolehcapaian, SUMMERAYA 2026 ditawarkan pada harga antara RM239 hingga RM439.

Harga tersebut mencerminkan komitmen jenama untuk menyediakan fesyen pereka yang mampu milik secara menyeluruh (top-to-toe), merangkumi pakaian, selendang, kasut sehinggalah tas tangan.

Sesuatu yang unik pada tahun ini ialah kolaborasi sulung Rico Rinaldi bersama jenama pastri terkemuka, Chef Kecik. Kerjasama kreatif itu menghasilkan tas tangan yang diinspirasikan daripada bentuk croissant dalam lima pilihan warna, menggabungkan elemen kontemporari dan ceria.

Pertunjukan fesyen ini turut dijayakan dengan sokongan SACE LADY sebagai Rakan Solekan Rasmi, selain penglibatan rakan jenama lain seperti Machine dan Summerie.

Selepas 19 tahun, SUMMERAYA 2026 berdiri sebagai refleksi kematangan Rico Rinaldi yang berjaya mengimbangi aspek pemasaran, gaya hidup, dan kejujuran dalam berkarya.

Komen
Loading...