Ikuti Kami:

16 Tahun Menanti, Kaka Azraff Akhirnya Muncul Dengan Album Sulung ‘MPT’

16 Tahun Menanti, Kaka Azraff Akhirnya Muncul Dengan Album Sulung ‘MPT’

Selepas 16 tahun mengabdikan diri dalam industri seni suara, penyanyi Kaka Azraff akhirnya menoktahkan penantian panjang peminat dengan pelancaran album sulungnya yang diberi judul MPT.

​Diambil daripada perkataan ‘eMPaTI’, album ini merupakan naskhah peribadi yang menterjemahkan kemampuan memahami perasaan dan pengalaman orang lain, seolah-olah berada di posisi individu tersebut.

​Kaka, atau nama sebenarnya Nor Atiqa Amaira Junaidi, berkata album berkenaan merupakan hasil kolektif sepanjang tiga tahun beliau memilih untuk berada jauh daripada sorotan utama (spotlight).

​”Kesemua lagu dalam album ini membawa naratif tersendiri hasil daripada perbualan, perkongsian dan pengalaman orang sekeliling yang menjadi sumber idea utama dalam membentuk identiti muzik saya sekarang.

​”Ia memberi ruang untuk saya berkarya dengan lebih jujur tanpa hanya mengejar kesempurnaan teknikal semata-mata,” katanya pada sesi Showcase & Listening Party bersama media dan peminat di Kafe Bijou, baru-baru ini.

​MPT memuatkan enam buah lagu iaitu Berubah, Cabar, Arguments, Bully, Takleh Usik dan Aku.

Menariknya, album ini turut menyaksikan kolaborasi Kaka bersama dua produser berkaliber, SonaOne dan Yonnyboii bagi menghasilkan harmoni melodi yang segar.
​Tambah pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-35 ini, MPT bukanlah sebuah ‘kemunculan semula’ (comeback), sebaliknya satu kesinambungan dan fasa penyesuaian dalam perjalanan seninya yang kini lebih matang.

​Projek ini turut mendapat sokongan padu menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures, dengan kerjasama distribusi oleh Universal Music Malaysia.

​Album MPT dijadualkan menemui peminat di semua platform digital bermula penghujung Januari 2026.

Loading...