15,000 Bakul Makanan 99 Speed Mart Ringankan Beban Keluarga Kurang Mampu
- oleh MDaily Editor
- 20 Mar 2026 12:52 pm
Majlis Perasmian Anjung Rezeki: MAIPs dan Penyerahan Bakul Perayaan Aidilfitri 2026 telah berlangsung di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Rangkaian pasar raya mini terkemuka, 99 Speed Mart, memperkukuh komitmen tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dengan menyalurkan sumbangan 15,000 bakul perayaan bernilai lebih RM700,000 kepada golongan memerlukan di seluruh negara.
Inisiatif murni itu dilaksanakan sempena sambutan berganda Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina 2026, bertujuan meringankan beban kewangan keluarga kurang berkemampuan dalam membuat persiapan menyambut hari kebesaran tersebut.

Majlis Penyerahan Sumbangan Bakul Perayaan Sempena Aidilfitri 2026 anjuran 99 Speed Mart disempurnakan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah yang memberi manfaat kepada 300 golongan asnaf memerlukan.
Ketua Pegawai Operasi 99 Speed Mart, Encik Yong Eng Kwang, berkata sumbangan itu disalurkan menerusi kerjasama strategik dengan pelbagai pihak berkuasa tempatan dan agensi kebajikan bagi memastikan bantuan sampai kepada kumpulan sasar yang tepat.
“Sumbangan ini diagihkan melalui kolaborasi bersama Pejabat Menteri Besar, Kerajaan Negeri, Majlis Agama Islam Negeri serta rumah-rumah kebajikan di seluruh Malaysia.
“Setiap bakul makanan mengandungi pelbagai barangan keperluan asas seperti beras, biskut, bihun, minuman manis, tepung gandum, gula, kordial, kurma dan beras ketupat bagi memastikan penerima dapat meraikan Aidilfitri dan Tahun Baru Cina dengan lebih sempurna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Operasi 99 Speedmart Yong Eng Kwang (kiri) menyerah 600 set bakul perayaan Aidilfitri kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk disumbangkan kepada golongan asnaf.
Menurut Eng Kwang, program itu juga merupakan simbol penghargaan syarikat kepada para pelanggan yang terus memberikan kepercayaan kepada 99 Speed Mart sebagai destinasi utama barangan harian.
“Kepercayaan dan sokongan pelanggan menjadi asas kepada kami untuk terus memberi nilai tambah kepada komuniti serta menyumbang secara mampan kepada masyarakat.
“Kami percaya semangat perpaduan dan kebersamaan dapat diperkukuhkan melalui amalan berkongsi rezeki, sejajar dengan nilai murni yang dibawa oleh kedua-dua perayaan ini,” tambahnya lagi.

99 Speed Mart menyemarakkan semangat kebersamaan sempena Tahun Baharu Cina melalui lawatan ke 31 pusat kebajikan di 11 negeri serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
99 Speed Mart yang kini memiliki lebih 3,000 cawangan di seluruh negara dan tersenarai di Papan Utama Bursa Malaysia, terus komited mengekalkan identitinya sebagai rangkaian peruncitan ikonik yang memfokuskan kepada kemudahan pengguna dan harga berpatutan.
Sumbangan besar ini diharapkan dapat menyuntik kegembiraan buat keluarga yang memerlukan agar mereka turut berpeluang menikmati suasana perayaan yang bermakna bersama insan tersayang.




