Ikuti Kami:

12 Pekerja Stesen Minyak Warga Bangladesh, India Ditahan

12 Pekerja Stesen Minyak Warga Bangladesh, India Ditahan

Jabatan Imigresen menahan 12 pekerja warga Bangladesh dan India di sebuah stesen minyak di Petaling Jaya kerana menyalahgunakan pas atau permit sedia ada.

Enam lelaki warga Bangladesh dan enam lelaki warga India yang ditahan didapati tidak memiliki pas atau permit sah untuk bekerja di premis itu.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata maklumat dan risikan awal mendapati warga asing terbabit bekerja sebagai juruwang, tukang masak, tukang cuci kereta dan pekerja barisan hadapan di premis tersebut.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, penyalahgunaan pas dan kesalahan lain yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mereka dibawa ke Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya di sini untuk menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk proses dokumentasi setelah keputusan didapati negatif.

Beliau berkata kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk siasatan dan tindakan susulan.

Khairul Dzaimee berkata dua borang 29 (saman saksi) turut dikeluarkan kepada majikan premis perniagaan bagi membantu siasatan.

“Jabatan ini akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan dan memastikan semua pegawai Imigresen memberikan komitmen serta mematuhi norma baharu dalam menghadapi wabak COVID-19 bagi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.

Foto : Bernama, Jabatan Imigresen.

Komen
Loading...