12 Aktivis Malaysia Termasuk Zizi Kirana, Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Ardel dan Farah Lee Ditahan Israel
- oleh MDaily Editor
- 2 Oct 2025 8:28 am

Seramai 12 aktivis kemanusiaan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ditahan pihak berkuasa Israel selepas beberapa kapal yang membawa mereka dipintas ketika dalam pelayaran menuju ke Gaza awal pagi Khamis.
Antara yang ditahan termasuk penyanyi Zizi Kirana, pendakwah selebriti Heliza Helmi serta adiknya Hazwani Helmi, pelakon Ardel, dan personaliti media sosial serta aktivis kemanusiaan, Farah Lee.
Menurut kenyataan Sekretariat Nusantara Care for Community (SNCC), kapal yang membawa delegasi Malaysia iaitu Alma, Sirius, Huga, Grande Blu dan Hio telah dipintas oleh pihak berkuasa Israel.
Dengan perkembangan ini, jumlah keseluruhan aktivis kemanusiaan Malaysia yang ditahan ialah 12 orang, melibatkan beberapa nama artis dan aktivis tanah air.
Misi GSF disertai aktivis dari seluruh dunia sebagai simbol solidariti antarabangsa terhadap rakyat Palestin, selain membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta barangan asas ke Gaza.
Perdana Menteri Malaysia dalam satu kenyataan rasmi berkata, kerajaan mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel memintas kapal flotilla tersebut.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel memintas kapal-kapal Global Sumud Flotilla. Kapal-kapal ini membawa orang awam yang tidak bersenjata serta bekalan kemanusiaan penting untuk Gaza, namun mereka telah disambut dengan intimidasi dan paksaan.
Malaysia akan menggunakan segala saluran yang sah dan sahih bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan, khususnya dalam perkara yang melibatkan keselamatan warganegara Malaysia. Keselamatan dan maruah rakyat kita adalah keutamaan, dan kita tidak akan membiarkan ia digadai tanpa sebarang tindakan.” katanya.
Kerajaan Malaysia kini sedang memantau rapat situasi berkenaan bagi memastikan keselamatan semua aktivis negara terjamin, dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Setakat ini 17 rakyat Malaysia terputus hubungan dengan SNCC sejak kira-kira 2.26 pagi waktu Malaysia.