IKLAN

1,122 Lot Perniagaan Untuk Anak Muda Di Ibu Kota

Seperti yang dijanjikan, Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota menawarkan sejumlah 1,122 lot perniagaan kepada golongan muda khusus bagi mereka yang ingin menceburi bidang keusahawanan.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata peluang dan inisiatif itu diwujudkan selain membantu usahawan muda juga bagi memulih semula ekonomi negara dengan merancakkan aktiviti pembelian kalangan pelancong domestik dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Boleh dikatakan hampir 80 hingga 90 peratus kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sudah dianggap zon hijau. Kementerian ingin mengajak dan menggalakkan orang ramai kembali bertumpu ke pusat perniagaan.

“Kementerian juga sudah mula melancarkan kempen untuk memulihkan ekonomi negara. Program ini memberi keutamaan kepada anak muda yang cenderung dan mempunyai minat mendalam dalam bidang keusahawanan.

“Peluang ini dibuka kepada usahawan muda termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan dan yang ingin menceburi bidang keusahawanan. Ia sebagai langkah proaktif dan kementerian telah mengenal pasti 1,000 lokasi yang akan dibuka secara berperingkat,” katanya pada sidang media ketika meninjau lokasi Projek River Of Life, di sini hari ini.

IKLAN

Annuar berkata sebanyak 169 lokasi strategik telah dikenal pasti untuk dijadikan ruang perniagaan di Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 80 peserta akan memulakan operasi bermula Julai hingga Disember ini.

Beliau berkata program itu akan berterusan sehingga tahun 2023 dan terbuka kepada anak muda berumur seawal 18 tahun hingga 35 tahun.

“Kios yang disediakan adalah termasuk kemudahan fasiliti bersesuaian jenis perniagaan dengan reka bentuk yang moden, teratur, kemas dan bersih. Antara jenis perniagaan yang boleh dibuat seperti makanan dan minuman; pusat gajet dan teknologi maklumat; cenderamata; kraftangan; buku; fesyen dan perhiasan serta produk kosmetik dan kecantikan,” katanya.

Tambahnya, usahawan akan dikenakan bayaran sewaan nominal mengikut keluasan ruang niaga, mendapat green lane bagi permohonan lesen perniagaan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), membantu padanan bagi perniagaan francais serta bantuan dan akses dalam mengaplikasikan ekonomi digital.

IKLAN

Selain itu, bagi lokasi kios di kawasan perhentian bas dan teksi, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memastikan setiap lokasi mempunyai ruang bebas halangan 1.5 meter lebar paling minimum bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas serta bagi memberikan laluan kepada pengguna terutamanya orang kurang upaya.

Annuar berharap inisiatif itu dapat menjayakan serta merancakkan sektor pelancongan, peruncitan dan penjajaan negara.

Anak muda (belia) yang berminat untuk menceburi perniagaan melalui program itu boleh memohon secara online di https://usahawanwp.kwp.gov.my mulai hari ini. Semakan status permohonan boleh dilihat di laman web yang sama bermula 1 Ogos ini.

BACA : 1,000 Lot Niaga Untuk Golongan Muda Yang Hilang Pekerjaan Akibat COVID-19

Sumber : Bernama.

Jom like Facebook & follow Twitter mDaily bagi mendapatkan berita hangat dan terkini di seluruh dunia.

IKLAN