Malam yang penuh magis menyaksikan penyanyi Bollywood terkenal, Arijit Singh, menghiburkan hampir 10,000 peminat di Axiata Arena, Bukit Jalil, dalam konsert “Arijit Singh Live in Malaysia”.
Acara bersejarah ini dianjurkan oleh Hitman Solutions bersama Cinestar Events dari Australia dan dipersembahkan oleh Castle Group.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group, En. Rohit Rampal, sambutan peminat yang luar biasa menjadikan konsert ini satu pencapaian besar.
“Konsert ini melampaui jangkaan kami. Ia adalah hasil kerjasama erat dengan Cinestar Events, dan kami berbangga dapat memberikan pengalaman luar biasa kepada semua yang hadir,” katanya.
Konsert yang berlangsung selama lebih tiga jam itu menyaksikan Arijit Singh membawakan hampir 50 lagu ikonik, termasuk “Janam Janam” (Dilwale), “Ae Dil Hai Mushkil”, “Tum Hi Ho” (Aashiqui 2), dan “Kesariya” (Brahmastra).
Setiap lagu menyuntik emosi mendalam dan menggamit kenangan, memberikan pengalaman Bollywood tulen kepada peminat tempatan.
Malam istimewa ini turut menyatukan peminat dari pelbagai negara di Asia, membuktikan pengaruh global Arijit Singh.
Beliau juga mencipta sejarah sebagai artis lelaki paling ramai pengikut di Spotify, mengatasi nama-nama besar seperti Taylor Swift dan Ed Sheeran.
Kehadiran Arijit Singh ke Malaysia sangat dinantikan, memandangkan kali terakhir beliau membuat persembahan di negara ini adalah pada 2014.
“Peminat muzik Bollywood di Malaysia amat menghargai karya-karya Arijit Singh. Kerjasama antara Hitman Solutions dan Cinestar Events menjadikan konsert ini satu kejayaan besar,” ujar En. Yogesh Sharma, Ketua Pegawai Eksekutif Cinestar Events.
Dengan sokongan produksi bertaraf dunia, konsert ini menawarkan pengalaman audio visual yang memukau, menghidupkan semula lagu-lagu klasik dan hit terkini dari filem-filem seperti Dilwale, Brahmastra, dan Jawan.
Konsert ini turut ditaja oleh XRealty Australia, Kashi Tours, Edu-Key, dan pelbagai rakan kongsi rasmi termasuk Malaysia Airlines, Imperial Lexis Kuala Lumpur, serta stesen radio Raaga FM dan Gegar FM.
“Kami berharap dapat terus membawa artis Bollywood terkemuka ke Malaysia pada masa hadapan,” kata En. Rohit Rampal.
Konsert ini sekali lagi membuktikan Malaysia sebagai destinasi utama bagi peminat muzik global. Peminat kini tidak sabar menantikan lebih banyak persembahan ikonik yang bakal hadir!