Ikuti Kami:

1,000 Pelanggan Rasmikan Cawangan Baharu BGM Burgerman Setapak Sabtu ini

1,000 Pelanggan Rasmikan Cawangan Baharu BGM Burgerman Setapak Sabtu ini

Operator restoran makanan segera tempatan, BGM Burgerman, bakal mencipta sejarah tersendiri apabila memilih 1,000 pelanggan setianya sebagai tetamu kehormat bagi merasmikan cawangan terbaharunya di Setapak, Sabtu ini.

Majlis yang dijadualkan berlangsung pada jam 10 pagi itu akan diadakan di premis BGM Burgerman Setapak yang terletak di No. 2 Jalan Suria Setapak, Taman Suria Setapak.

Pengasas BGM Burgerman, Nordin Mat, berkata inisiatif unik itu diperkenalkan sebagai tanda penghargaan kepada komuniti serta memberi pengalaman baharu kepada rakyat biasa untuk merasai sendiri detik perasmian sesebuah jenama.

Beliau berkata, berbeza dengan majlis pembukaan biasa yang lazimnya dirasmikan oleh golongan kenamaan (VIP), konsep ‘Perasmian Oleh Rakyat’ ini bertujuan menanam rasa bangga terhadap jenama tempatan.

“Ini bukan sekadar pembukaan kedai biasa, tetapi ia adalah perasmian oleh rakyat untuk rakyat. Kami mahu komuniti setempat menjadi sebahagian daripada sejarah dan perjalanan BGM Burgerman,” katanya dalam satu kenyataan.

Menerusi majlis itu, setiap pelanggan yang hadir berpeluang menyertai acara memotong riben secara bergilir-gilir, bergambar kenangan sebagai perasmi dan menandatangani ‘Wall of Appreciation’ sebagai simbol sokongan padu komuniti.

Nordin turut menambah bahawa majlis tersebut menyasarkan kehadiran seribu orang perasmi, sekali gus menjadikannya antara majlis perasmian paling inklusif yang pernah dianjurkan oleh jenama makanan segera di negara ini.

Sebagai daya tarikan tambahan, BGM Burgerman turut menawarkan promosi istimewa di mana setiap ‘pelanggan perasmi’ layak menikmati menu Mega Burger pada harga RM2.00 sahaja, berbanding harga asal RM17.90.

Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada strategi syarikat untuk terus mendekati pelanggan melalui konsep mesra keluarga dengan penawaran harga mampu milik namun mengekalkan rasa kualiti premium.

Pembukaan cawangan Setapak ini merupakan sebahagian daripada pelan pengembangan agresif BGM Burgerman dalam mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama burger pilihan utama rakyat Malaysia.

Komen
Loading...