Ikuti Kami:

1,000 Calon SPM Kudat Sertai Program Jelajah Skor A+ PTTI

1,000 Calon SPM Kudat Sertai Program Jelajah Skor A+ PTTI

Seramai 1,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari sembilan buah sekolah menengah sekitar Kudat telah menyertai Program Jelajah Skor A+ SPM anjuran PTTI Group Sdn. Bhd. dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kudat serta Kelab Nuri Bank Rakyat.

Program yang berlangsung selama dua hari di Dewan Hakka, Kudat itu memberi peluang kepada pelajar mengikuti sesi intensif subjek Bahasa Melayu, Matematik, Sains dan Sejarah bersama tenaga pengajar berpengalaman daripada PTTI.

Sepanjang sesi, calon SPM didedahkan dengan strategi menjawab soalan, teknik mengingat fakta dengan lebih mudah serta penggunaan formula rahsia untuk menguasai topik peperiksaan.

Selain aspek akademik, Kelab Nuri Bank Rakyat turut menganjurkan slot literasi kewangan bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai pengurusan kewangan yang bijak selain menerima modul pembelajaran percuma serta tajaan pembukaan akaun Kelab Nuri.

Eksekutif Kanan Komunikasi Strategik PTTI Group, Encik Eizlan Haikal Eusop berkata, pihaknya komited membantu calon SPM membuat persediaan terbaik menjelang peperiksaan.

“Kami mahu pelajar bukan sahaja memahami teknik menjawab dengan berkesan, tetapi juga memiliki motivasi dan keyakinan diri yang tinggi,” katanya.

Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Pembelajaran) Kudat, Tuan Hj. Sharif Zainal Abiddin Hj. Sharif Shek pula menyifatkan kerjasama antara PTTI, JPN Sabah, PPD Kudat dan Kelab Nuri Bank Rakyat sebagai usaha bermakna dalam meningkatkan prestasi murid luar bandar.

Sementara itu, Timbalan Presiden Deposit Bank Rakyat, Puan Azilla Nasarudin menegaskan literasi kewangan merupakan kemahiran hidup penting yang wajar dipupuk sejak di bangku sekolah.

“Kami mahu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga bijak dalam membuat keputusan kewangan,” ujarnya.

Penganjuran Program Jelajah Skor A+ SPM ini menjadi bukti keprihatinan PTTI dalam memperkasa potensi murid luar bandar, sekali gus memperkukuh reputasinya sebagai pusat tuisyen yang melahirkan ramai pelajar semua A dalam SPM.

Komen
Loading...