
Projek 100 Lagu 100 Tahun dilancarkan sebagai usaha mengabadikan serta memperkenalkan semula 100 lagu Melayu ikonik yang telah membentuk landskap muzik tanah air sepanjang satu abad.
Projek ini menghimpunkan lagu-lagu warisan dalam versi kontemporari yang dinyanyikan oleh artis-artis popular tanpa mengubah keasliannya, memastikan karya ini terus relevan untuk generasi baharu.
Diilhamkan oleh Prof Emeritus Dato’ Seri Dr Mohamad Mustafa Bin Ishak dan Dr Azmeer, projek ini tertangguh beberapa tahun sebelum akhirnya direalisasikan dengan sokongan Kementerian Komunikasi Digital dan Multimedia menerusi Dana Kandungan Kreatif pada tahun 2021.
Ia diterbitkan oleh World Business Affairs dengan kerjasama Luncai Emas Sdn Bhd bagi pengedaran audio dan audio visual di platform digital, sementara penerbitan buku masih dalam perbincangan.
Projek ini dibahagikan kepada empat volume, dengan setiap volume mengandungi 25 lagu. Selain penerbitan dalam bentuk audio dan visual, sebuah buku meja kopi akan diterbitkan untuk mengimbau sejarah penciptaan, lirik, serta impak lagu-lagu ini dalam masyarakat.
Antara lagu-lagu yang dipilih dalam Volume 1 ialah Ulek Mayang, Nuri Terbang Malam, Wajahmu Di Mana-Mana (Azlina Aziz), Kenangan Lalu (Flybaits), Madah Berhelah (Ziana Zain), Getaran Jiwa (P. Ramlee) dan Penantian (Kumpulan Harmoni).
Kaka Azraf berduet bersama Bunga mempersembahkan lagu Ulek Mayang dalam versi baharu.
Sebagai single pertama projek ini, lagu Nuri Terbang Malam nyanyian Dato’ M. Nasir telah dilancarkan pada Januari 2025.
Lagu ini dipercayai sebagai lagu Melayu pertama yang pernah direkodkan dalam piring hitam sekitar tahun 1903 oleh Gramaphone Company di United Kingdom, dengan penyanyi asalnya Qasim.
Pengarah Produksi Luncai Emas, Keon Omar, menyatakan sokongan penuh terhadap projek ini kerana ia selari dengan matlamat mereka dalam mengangkat karya-karya hebat ke generasi baharu.
M. Nasir turut menegaskan kepentingan kesinambungan warisan muzik ke generasi baharu tanpa melupakan asal-usulnya
“Sebagai seorang penggiat seni, saya ingin membawa karya Nuri Terbang Malam ini ke generasi baharu tanpa melupakan asal-usulnya. Lagu ini adalah sebahagian daripada sejarah muzik kita dan tugas kita adalah untuk mengabadikannya.” katanya.
Single kedua, Penantian, yang asalnya dinyanyikan oleh Kumpulan Harmoni, kini diberi nafas baharu oleh Lah Ahmad dan dijadualkan dilancarkan pada 28 Februari 2025.
Menurut Prof Emeritus Dato’ Seri Dr. Mohamad Mustafa Ishak, projek ini adalah satu usaha besar untuk memperkukuhkan sejarah muzik Melayu.
“Kami berbangga dapat mempersembahkan koleksi lagu yang mengukuhkan sejarah muzik Melayu. Sentuhan seni daripada Dr Azmeer dan Dato’ M. Nasir memberi jaminan bahawa nilai budaya dan keaslian lagu-lagu ini kekal relevan dalam era moden.” katanya.
Pelancaran Volume 1 ini bukan sekadar memperkenalkan projek kepada umum, tetapi juga sebagai seruan kepada agensi kerajaan dan swasta untuk turut serta menyokong penerbitan tiga volume seterusnya.
Dengan usaha ini, 100 Lagu 100 Tahun diharapkan dapat mengukuhkan apresiasi terhadap warisan seni muzik Melayu serta menghubungkan generasi lama dan baharu melalui keindahan muzik yang abadi.